Sultan Selangor Dukacita Dengan Sikap Tidak Berhati-Hati Keluarkan Kata-Kata

Sultan Selangor Dukacita Dengan Sikap Tidak Berhati-Hati Keluarkan Kata-Kata

SHAH ALAM, 16 Mac – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dengan sikap dan tingkah laku segelintir individu umat Islam khususnya di Selangor yang tidak berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata, yang boleh menjejaskan akidah dan keislaman mereka.

Baginda bertitah apa-apa juga iktikad (pernyataan dalam hati) atau percakapan atau perbuatan oleh mana-mana orang Islam yang berhasrat untuk keluar dari agama Islam, dikhuatiri boleh membawa kepada tergelincirnya akidah dan menyebabkan terkeluarnya seseorang itu dari agama Islam.

“Asas kepada kepercayaan umat Islam adalah mengakui akan keesaan Allah SWT dengan mengucap kalimah syahadah, dan seorang Islam perlulah sentiasa berpegang kepada keyakinan bahawa hanya Allah SWT yang berhak disembah dan nabi Muhammad SAW sebagai pesuruh Allah SWT,” titah baginda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani di sini hari ini.

Titah baginda seseorang yang berpegang dengan Islam sebagai agamanya adalah berpegang secara mutlak terhadap prinsip tauhid dan akidah sepanjang kehidupannya.

“Sehubungan itu tindakan segelintir umat Islam khususnya di Selangor yang mengugut untuk keluar dari agama Islam apabila berhadapan dengan sesuatu masalah hanya menunjukkan rapuhnya keyakinan mereka terhadap agama Islam dan Allah SWT,” titah baginda.

Sementara itu Mohamad Munir berkata baginda Sultan menitahkan agar umat Islam sentiasa berpegang teguh kepada akidah Islam, tidak mudah terpesong dari akidah Islam sebenar, dan tindakan pihak berkuasa agama seperti Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menguatkuasa undang-undang adalah suatu tindakan dan proses biasa berlandaskan peruntukan undang-undang.

“Malah Baginda telah menitahkan agar semua tindakan yang dibuat oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS hendaklah selaras dengan prinsip-prinsip yang mendukung keutamaan dakwah, mendidik, mencegah dan meningkatkan kefahaman Islam yang betul kepada masyarakat.

“Baginda juga menitahkan agar MAIS dan JAIS sentiasa memelihara dan mempertahankan akidah Aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sebarang unsur dan ideologi yang boleh merosakkannya,” menurutnya dalam kenyataan itu.

– BERNAMA

CATEGORIES
Share This