Suntikan vaksin bantu Harimau Malaya fokus aksi di UAE – Aidil Zafuan
PUTRAJAYA,. Suntikan vaksin diterima skuad Harimau Malaya dapat membantu mereka untuk memberi tumpuan sepenuhnya, pada aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jun depan.
Kapten pasukan Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak yakin, suntikan berkenaan juga mampu menghilangkan rasa takut para pemain terhadap ancaman COVID-19, yang masih melanda dunia ketika ini.
“Saya harap mereka lebih yakin dan tidak takut akan ancaman COVID-19, saya rasa bila cucuk (suntik) tadi pun tidak rasa sakit sangat macam ambil BCG (Bacillus Calmette-Guerin), dan Alhamdulillah ketika ini tidak rasa apa-apa,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menerima dos pertama suntikan vaksin COVID-19 di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, bersama lebih 40 pemain dan pegawai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang lain di Dewan Seri Seroja di sini, semalam.
Dalam pada itu, tonggak pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengakui, pada mulanya gusar untuk menjalani suntikan selepas mendengar berita mengenai 40 kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang selesai menjalani proses vaksinasi dengan menerima dua dos suntikan, dikesan dijangkiti COVID-19 baru -baru ini.
Namun, Aidil Zafuan, yang menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech itu, mampu menarik nafas lega selepas dia dan rakan sepasukannya yang lain mendengar penerangan lanjut, daripada pegawai perubatan dalam program itu.
“Rakan-rakan lain pun agak risau, tetapi selepas kita tengok cara suntikan dilakukan saya rasa tiada masalah untuk berasa was-was, sama ada vaksin ini bagus atau tidak,” tambahnya.
Pemain berpengalaman berusia 33 tahun itu juga, berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana memberi keutamaan kepada skuad bola sepak kebangsaan, untuk menerima suntikan vaksin.
Sementara itu, ketua jurulatih Tan Cheng Hoe menyifatkan, suntikan vaksin memberi banyak faedah terutamanya dalam menangkis kerisauan terhadap aspek kesihatan dan keselamatan kepada pasukannya, seterusnya kekal fokus terhadap persediaan kempen di UAE nanti.
Skuad Harimau Malaya dijangka menerima suntikan dos kedua pada 10 Mei depan, sebelum berhimpun pada 16 Mei untuk menjalani kem latihan pusat dan dijadualkan berlepas ke UAE, 20 Mei depan.
Malaysia akan menentang tuan rumah UAE pada 3 Jun, sebelum berdepan Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) dalam perebutan gelaran juara Kumpulan G, bagi memburu slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023 sekali gus mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022.
Skuad kebangsaan sebelum itu dijangka menghadapi dua aksi persahabatan menentang Kuwait (23 Mei) sebelum menentang pasukan kebangsaan Bahrain pada 28 Mei.
— BERNAMA