Sunway Bhd lancar pengumpulan modal bagi raih sehingga RM1.11 bilion

Sunway Bhd lancar pengumpulan modal bagi raih sehingga RM1.11 bilion

KUALA LUMPUR,. Sunway Bhd, yang hari ini mencatatkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 42.6 peratus pada suku pertama kepada RM78.29 juta, mencadangkan terbitan hak boleh lepas untuk meraih sehingga RM1.11 bilion.

Syarikat merancang untuk menerbitkan sehingga 1.11 bilion saham keutamaan boleh tukar tidak boleh tebus (ICPS) baharu dalam Sunway dengan harga RM1 setiap satu berdasarkan satu ICPS untuk setiap lima saham Sunway yang dipegang, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Sunway berkata pihaknya menyasarkan untuk meraih hasil kasar sebanyak RM930.3 juta hingga RM1.11 bilion, yang mana — RM600 juta hingga RM732.5 juta — membayar balik sebahagian pinjaman kumpulan berjumlah RM10.26 bilion sehingga 31 Mac.

Syarikat itu berkata ia berhasrat untuk menggunakan RM200 juta daripada hasil tersebut untuk membiayai sebahagian pembangunan hospital baharu, Sunway Medical Centre di Pulau Pinang, dan pengembangan hospital sedia ada di Petaling Jaya.

Ia akan turut memperuntukkan sebanyak RM179.2 juta untuk membiayai sebahagian pembangunan hartanah sedia ada dan projek pelaburan hartanah.

Tertakluk kepada kelulusan yang diperoleh, syarikat itu menjangka cadangan tersebut akan selesai pada suku keempat tahun ini.

Dalam makluman kepada bursa saham yang berasingan, Sunway berkata kemerosotan keuntungan bersih tahun ke tahun pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2020, disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada kebanyakan segmen perniagaan kecuali segmen pembangunan hartanah dan kuari.

Katanya perolehan turut susut kepada RM971.44 juta daripada RM1.12 bilion pada tahun sebelumnya.

Sunway berkata pandemik COVID-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) sejak 18 Mac telah menyebabkan gangguan dan impak kewangan yang ketara kepada kumpulan, terutamanya perniagaan hospitaliti dan riadah kumpulan itu, yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh ini.

“Walaupun kebanyakan perniagaan lain kumpulan telah kembali beroperasi semasa PKPB, pemulihan perniagaan dijangka akan mencabar dan bergantung kepada peningkatan ekonomi secara keseluruhan,” katanya.

Mengenai prospek, Sunway berkata prestasi kumpulan dijangka terjejas teruk oleh pandemik tersebut jika tidak dikawal.

“Bagi mengurangkan impaknya, kumpulan telah mengaktifkan Pelan Kesinambungan Perniagaan yang menggabungkan platform digital untuk menguruskan gangguan operasi disebabkan pandemik tersebut dan penguatkuasaan PKP,” katanya.

Selain itu, kumpulan tersebut berkata ia telah melaksanakan beberapa langkah penjimatan kos termasuk membekukan pengambilan, terus memantau keadaan dan akan mengambil tindakan yang wajar jika perlu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This