Sunway Pyramid tubuh platform dalam talian bagi pelanggan

KUALA LUMPUR,. Sunway Pyramid telah menubuhkan gedung dalam talian yang mana pelanggan boleh membeli lebih 100 jenama terdiri daripada pelbagai kategori seperti kecantikan, fesyen, hiasan rumah, penjagaan kesihatan, kasut, makanan dan minuman dan gaya hidup digital.

Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata gedung dalam talian itu mnyediakan ruang yang lebih selamat dan terjamin kepada pelanggan untuk mendapatkan barangan mereka sempena sambutan perayaan Hari Raya tahun ini.

Selain kempen gedung dalam talian istimewa itu, Sunway Pyramid juga akan menganjurkan jualan kilat 72 jam di laman web tersebut bermula 29 Mei hingga 1 Jun.

Gedung dalam talian itu ditubuhkan secara kerjasama dengan penyedia perkhidmatan e-dagang dan penghantaran tempatan, MatDespatch, dalam usaha untuk membantu perniagaan kecil tempatan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Sunway Malls Kevin Tan berkata langkah untuk menubuhkan platform dalam talian itu merupakan usaha terbaharu kumpulan ke arah transformasi digital bagi menyediakan lagi keselesaan kepada pelanggan dan membantu meningkatkan perniagaan peruncit.

“Tempoh dua bulan lepas sudah pastinya merupakan tempoh mencabar bagi kita semua, dan kami mahu memberikan peluang kepada peruncit kami mendekati pelanggan dengan hanya beberapa klik.

“Tidak semua peruncit mempunyai keupayaan untuk menubuhkan platform dalam talian justeru itu kami berharap ini akan membantu mengukuhkan operasi perniagaan mereka bagi kelangsungan hidup pasca Perintah Kawalan Pergerakan.

“Bagi tujuan ini, Sunway Malls juga berusaha untuk memantapkan moto baharu kami ‘Your Safe Space, Our Safe Space’ bagi memastikan pelanggan yang memasuki premis berasa selamat dan terjamin,” katanya.

Sejajar dengan moto ini ini, Sunway Pyramid bersama dengan Sunway Malls telah menyediakan 82 langkah bagi memastikan pelanggan dan peruncit selamat, termasuk mengetatkan pemeriksaan keselamatan dan pengimbasan, meningkatkan penjarakan sosial, pendidikan holistik dan melatih semua kakitangan serta meningkatkan lagi usaha menjaga kebersihan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )