Supermax, Ralco anggar kerugian kapasiti kurang daripada satu peratus

Supermax, Ralco anggar kerugian kapasiti kurang daripada satu peratus

KUALA LUMPUR,. Pembuat sarung tangan getah, Supermax Corp Bhd dan pembuat produk plastik, Ralco Corp Bhd masing-masing menjangkakan kerugian kapasiti kurang daripada satu peratus bagi keluaran tahunan susulan penutupan sementara kilang mereka.

Operasi kilang Supermax di Meru, Klang, Selangor dihentikan sementara sehingga 12 Feb manakala kilang Ralco di Nilai, Negeri Sembilan ditutup sehingga 15 Feb berikutan beberapa kes positif yang melibatkan kalangan pekerja masing-masing.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Rabu, Supermax menjelaskan penutupan sementara itu tidak akan memberi kesan ketara ke atas perolehan dan keuntungannya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2021.

“Walaupun hanya sebilangan kecil pekerja dari satu kilang telah diuji positif COVID-19, namun syarikat mengambil langkah menutup sementara semua kilang di lokasi yang sama untuk tujuan proses sanitasi dan disinfeksi yang menyeluruh.

“Semua pekerja di lokasi ini sedang menjalani kuarantin di sebuah hotel dan asrama baharu syarikat yang dilengkapi penjagaan kesihatan mencukupi,” menurut syarikat itu.

Menurut Supermax kemudahan pembuatannya di lokasi lain tidak terjejas dan beroperasi seperti biasa.

Sementara itu, Ralco menjelaskan seperti arahan Kementerian Kesihatan, pekerja yang dijangkiti virus tersebut kini menerima rawatan di kemudahan penjagaan kesihatan kerajaan.

Kemudahan pengeluaran di lokasi lain beroperasi seperti biasa manakala ujian saringan bagi pekerja tempatan dan asing di semua kilang sedang dijalankan, jelasnya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Menurutnya susulan penutupan sementara kilang yang terjejas, kerugian kapasiti dianggarkan kurang daripada satu peratus daripada jumlah keluaran tahunan keseluruhan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )