Suruhanjaya Christchurch dapati agensi kerajaan tidak gagal

Suruhanjaya Christchurch dapati agensi kerajaan tidak gagal

MOSCOW,. Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai serangan di Christchurch, New Zealand pada 2019 merumuskan tiada kesilapan di pihak agensi kerajaan sehingga membolehkan pengganas merancang keganasan, sebaliknya polis gagal menjalankan pemeriksaan teliti terhadap lesen senjata api, lapor agensi berita Sputnik.

New Zealand sebelum ini menubuhkan suruhanjaya bebas ekoran serangan itu bagi menentukan apakah agensi kerajaan boleh mengesan aktiviti pelaku sebelum insiden serta langkah yang boleh dilakukan badan terbabit bagi mencegah tragedi.

“Kami mendapati sistem perlesenan senjata api oleh pentadbiran polis New Zealand tidak memenuhi piawaian ditetapkan. Ia disebabkan kurangnya bimbingan dan latihan untuk kakitangan pelesenan serta panduan penggunaan aplikasi yang tidak lengkap sehingga pemohon tidak dapat ditemu ramah secara langsung,” menurut laporan suruhanjaya itu pada Selasa.

Selain dapatan berkenaan, suruhanjaya itu menyediakan 44 cadangan kepada kerajaan untuk mencegah serangan sama di masa depan dan memperkemas sistem memerangi keganasan New Zealand.

Antara usul berkenaan ialah undang-undang baharu termasuk menjadikan satu kesalahan jenayah bagi mereka yang merancang atau membuat persediaan melakukan serangan serta mengusulkan undang-undang lebih ketat berkaitan ucapan berbaur hasutan.

“Kerajaan menerima rumusan laporan itu dan pada prinsipnya bersetuju terhadap 44 saranan. Respon kami terhadap cadangan ini pasti dapat mengukuhkan sistem memerangi keganasan New Zealand serta meningkatkan perpaduan masyarakat kita,” kata Perdana Menteri Jacinda Ardern.

Laporan mengenai serangan masjid itu juga menunjukkan bahawa agensi keselamatan New Zealand hampir sepenuhnya tertumpu terhadap risiko pengganas Muslim sedangkan hakikatnya ia dilakukan lelaki bersenjata kulit putih.

“Suruhanjaya ini tidak menyatakan bahawa isu itu akan dapat menghentikan serangan. Bagaimanapun memang wujud kekurangan dan dengan itu saya memohon maaf,” kata Arden.

Pada 15 Mac 2019, New Zealand digemparkan dengan dua kejadian tembakan besar-besaran di Masjid Al Noor dan Pusat Islam Linwood di pusat bandar Christchurch.

Tragedi itu menyebabkan 51 orang terbunuh dan 50 yang lain cedera.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This