
SXVE20 tawar hadiah wang tunai RM250,000
KUALA LUMPUR,. Kerajaan Selangor dengan kerjasama Persatuan E-sports Selangor (ESS) buat julung kali akan menganjurkan kejohanan Selangor XTIV Virtual E-Sports 2020 (SXVE20) dengan menawarkan hadiah wang tunai terkumpul berjumlah RM250,000.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan serta Pembangunan Modal Insan negeri, Mohd Khairuddin Othman, berkata kejohanan secara dalam talian itu dianjurkan secara berperingkat bermula hari ini sehingga 31 Dis depan dengan fasa pertama yang mempertandingkan permainan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), PUBG Mobile, FIFA 20, PES 20 dan Dota akan tamat pada 31 Mei ini.
Beliau berkata kejohanan itu, antara lain, bertujuan menggalakkan aktiviti berfaedah selain memupuk semangat solidariti belia demi menyahut seruan “Stay at Home’ bagi mencegah COVID-19.
Kejohanan itu mempunyai tiga kategori iaitu Bawah 12 Tahun, Bawah 18 Tahun dan terbuka.
“Kejohanan ini menekankan pembangunan E-sukan di peringkat akar umbi dengan membuka peluang lebih ramai bakat baharu, sekali gus menyasarkan lebih daripada 100,000 penyertaan dalam talian terutamanya kepada pasukan amatur di seluruh Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai kejohanan itu boleh mendapatkan maklumat lanjut dan mendaftar di laman Facebook rasmi Selangor Xtiv Virtual E-Sports 2020.
— BERNAMA