Syarikat tambang rendah HK mahu ambil juruterbang Malaysia

SEPANG,. Syarikat penerbangan tambang rendah dari Hong Kong, HK Express, mahu merekrut juruterbang Malaysia sebagai sebahagian daripada strategi serantaunya dalam menguruskan pengembangan armada dan permintaan yang semakin meningkat bagi destinasi baharu.

Pengarah Sumber Manusia dan Pentadbiran Stanley Yau berkata syarikat penerbangan itu mendapati bahawa Malaysia mempunyai ramai juruterbang yang bagus dengan pelbagai latar pendidikan termasuk kemahiran bahasa yang baik.

“Tambahan pula, juruterbang Malaysia dilihat sudah biasa dengan pesawat Airbus A320, A320neo dan A321 yang dimiliki kami,” katanya dalam satu sidang media pada Selasa yang dibuat bersempena dengan kempen pengambilan kru kokpit selama tiga hari mulai Isnin.

Syarikat penerbangan itu telah menerima lebih daripada 100 permohonan semalam dan mahu mengambil 18 juruterbang untuk mengisi jawatan dalam pesawat A320 seperti Kapten dan Pegawai Pertama.

HK Express, yang baru sahaja ditubuhkan pada 2013, telah diperolehi oleh Kumpulan Cathay Pacific pada Julai tahun ini.

Menurut Yau lagi, syarikat itu sekarang mengupah kira-kira 207 juruterbang dan memiliki saiz armada sebanyak 24 pesawat yang berkhidmat bagi 26 laluan di seluruh Asia Pasifik.

“Syarikat kami dijangka akan menyaksikan perkembangan pesat dalam tempoh empat hingga enam tahun akan datang. Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong sudah menjadi hab pelancongan antarabangsa yang besar di dunia dengan dua landasan yang sedia ada.

“Apabila landasan ketiga mula beroperasi pada 2024, kapasati lapangan terbang berkenaan akan naik sebanyak 50 peratus,” tambahnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )