
Syarikat tenaga India, ASEAN ketat tahap kewangan tangani kejatuhan harga minyak
KUALA LUMPUR,. S&P Global Ratings menjangkakan syarikat tenaga gergasi di India dan Asia Tenggara termasuk Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan mengetatkan polisi kewangan mereka bagi mengharungi iklim kejatuhan margin dan harga minyak.
Syarikat-syarikat Asia Tenggara yang lain adalah PTT Public Co Ltd (Thailand), PTT Exploration and Production Public Co Ltd, PTT Global Chemical Public Co Ltd, Thai Oil Public Co Ltd dan PT Pertamina (Persero) serta PT Medco Energi Internasional Tbk dari Indonesia.
Syarikat dari India pula adalah Reliance Industries Ltd serta Oil and Natural Gas Corp. Ltd.
Firma penyelidikan risiko kredit itu menjangkakan kualiti kredit kebanyakan syarikay-syarikat ini akan memulih menjelang 2021, selepas merosot pada 2020.
Beberapa syarikat mungkin mengurangkan pelaburan dan menjual lebih banyak aset memandangkan harga minyak Brent mungkin melantun kepada US$50 (US $1 = RM4.32) setong (bbl) pada tahun hadapan daripada US$30/bbl pada 2020, katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa yang sama, ia berkata, margin penapisan minyak dan petrokimia dijangka akan bertambah baik dengan pemulihan dalam penggunaan serta perdagangan.
Bagaimanapun, kualiti kredit syarikat-syarikat ini akan terus menerima tekanan jika pandemik COVID-19 berpanjangan melampaui jangkaan.
“Tahap tekanan ke atas pendapatan 2020 daripada syarikat utama tenaga ini akan bergantung kepada integrasi, kompleks dan kepelbagaian produk campuran,” kata penganalisis kredit, Shawn.
S&P Global Ratings turut menjangkakan keadaan operasi akan pulih secara beransur-ansur pada akhir tahun ini, di tengah-tengah dolar US yang lebih kukuh termasuk permintaan minyak mentah yang berdaya tahan, yang seterusnya, akan menyokong jumlah dagangan syarikat-syarikat ini.
“Pada pendapat kami, syarikat-syarikat tenaga ini akan membuat pemotongan pengeluaran sementara antara lima peratus dan 10 peratus untuk mencegah hakisan margin yang lebih panjang.
“Mereka juga mungkin akan lebih berjimat-cermat serta mengurangkan perbelanjaan untuk mengukuhkan kunci kira-kira mereka,” kata seorang penganalisis kredit yang lain, Pauline Tang.
Firma penyelidikan risiko kredit itu menjelaskan Petronas mungkin akan mengekalkan perbelanjaan modal tempatan (capex) pada sekitar RM26 bilion-RM28 bilion.
“Bagaimanapun, mungkin akan berlaku beberapa kelewatan dalam projek mereka. Secara asas kami menjangkakan Petronas akan merendahkan plan pelaburan 2020 mereka lebih rendah daripada RM50 bilion memandangkan harga minyak yang kurang memberangsangkan,” katanya.
Secara keseluruhannya, S&P Global Ratings berkata rintangan ke atas industri akan terus mengenakan tekanan ke atas kualiti pendapatan syarikat-syarikat ini, melihat kepada pengetatan polisi kewangan dan kekuatan kunci kira-kira mereka.
Penarafan ke atas kebanyakan entiti seperti Petronas (FC: A-/Stabil/–; LC: A/Stabil/–) terikat kepada penarafan kedaulatan masing-masing.
“Unjuran penarafan kami ke atas syarikat-syarikat ini akan terus didasarkan kepada kedaulatan, dengan syarat hubungan mereka dengan kerajaan kekal utuh,” katanya.
— BERNAMA