TABS dibuka semula dengan lebih 300 kehadiran

TABS dibuka semula dengan lebih 300 kehadiran

KOTA KINABALU: Lebih 300 pemain sertai program Tunas Asas Bola Sepak (TABS) SAFA Bandaraya yang dibuka semula bermula Sabtu lalu selepas setahun tertangguh gara-gara krisis COVID-19 Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim berkata, program itu ditangguhkan sejak Mac tahun lalu.

“Kita meneruskan semula program ini dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Beliau berkata, 300 kehadiran dalam tempoh dua hari (Sabtu dan Ahad) adalah amat membanggakan.

Pemain-pemain dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut umur iaitu kumpulan bawah umur 12, 14 15, 16 dan 17 tahun. “Kita terharu dengan sambutan menggalakkan ini selepas program ini berehat kira-kira setahun,” katanya.

Lokman berkata, pihaknya juga berterima kasih kepada semua ibu bapa pelatih yang memberi kerjasama baik kepada pegawai dan jurulatih TABS sepanjang tempoh pendaftaran itu dilakukan. Katanya, kerjasama sedemikian akan membantu TABS mengendalikan program ini dengan lebih kemas, teratur dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Kita memutuskan untuk menyambung semula program pembangunan bola sepak ini kerana bagi memenuhi permintaan daripada ibu bapa.

“Kita menyedari situasi itu namun kami akan sentiasa lebih berhati-hati mengendalikan program ini. Dengan kerjasama semua pihak sudah tentu ia memudahkan pihak TABS menyusun program ini dengan lebih baik dan berpandukan SOP yang ditetapkan kerajaan,” tegas beliau.

Lokman percaya semua pegawai dan jurulatih yang diamanahkan untuk mengendalikan program pembangunan itu dapat memainkan peranan dan menjalankan tugas masing-masing dengan lebih berkesan. Katanya, setakat ini, TABS mempunyai lebih 10 jurulatih bertauliah diketuai Matasan Ahmad yang diberi tanggungjawab mengendalikan latihan setiap hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad.

“Ibu bapa yang ingin mendaftarkan anak-anak mereka sebagai pelatih baharu boleh berbuat demikian dengan para pegawai dan jurulatih TABS di padang TABS pada hari sesi latihan dijalankan,” tambahnya.

-DG

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )