Tahanan DTI merusuh, tidak dibenarkan balik sambut Hari Raya
KOTA KINABALU: Tidak berpuas hati selepas dilarang balik menyambut Hari Raya Aidilfitri dipercayai menjadi punca sekumpulan tahanan melakukan rusuhan. Kejadian yang berlaku sekitar pagi tadi itu membabitkan kumpulan tahanan di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Manggatal di sini.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, tindakan pantas pasukan Unit Tempur Ringan (LSF) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang bergegas ke lokasi kejadian berjaya mengawal keadaan.
Katanya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan tiada tahanan berjaya meloloskan diri dari DTI berkenaan.
“Kita cuma dimaklumkan terdapat beberapa kerosakan dalam kejadian berkenaan yang hanya membabitkan sebuah blok,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kebanyakan tahanan dipercayai tidak berpuas hati kerana tidak dibenarkan pulang menjelang Hari Raya nanti.
“Sebab pertama tahanan bertindak sedemikian kerana mereka tidak dapat balik Hari Raya. Kejadian hampir sama pernah berlaku pada 2015 iaitu dua hari sebelum Hari Raya, ada tahanan merusuh sebab nak balik raya,” katanya.
Dalam pada itu, Hazani menjelaskan, buat masa ini pergerakan penghantaran balik penghuni DTI berkenaan sedikit terganggu berikutan pandemik COVID-19.
-Borneo