Tahun 2020 peringatan kepada semua rakyat Malaysia, kata aktivis sosial terkemuka

Tahun 2020 peringatan kepada semua rakyat Malaysia, kata aktivis sosial terkemuka

KUALA LUMPUR,. Tahun 2020 patut menjadi peringatan kepada semua rakyat Malaysia dalam menetapkan wawasan 20/20 yang sempurna tentang hala tuju negara yang mereka mahukan dengan bekerja bersama-sama kerajaan dalam usaha mewujudkan hasil dan imej positif untuk negara.

Dalam membuat gesaan itu, dermawan terkemuka Tan Sri Robert Phang berkata kesejahteraan sesebuah negara bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi juga warganegaranya menerusi komen dan hantaran dimuat naik dalam talian dengan memberikan input penting tentang bagaimana keadaan negara.

Aktivis berusia 81 tahun yang amat berpengaruh dalam kalangan masyarakat Cina itu berkata hantaran dimuat naik dalam talian akan sama ada memberikan imej positif atau salah tentang negara dan ini akan menjejaskan bagaimana tanggapan orang terhadap tahap kestabilannya, sama ada, akan menarik atau menakutkan pelancong dan pelabur.

“Oleh itu, adalah penting, mulai tahun ini dan seterusnya, rakyat Malaysia, khususnya netizen perlu berhati-hati dalam memuat naik hantaran dalam talian, perlu berhenti daripada menyebarkan khabar angin dan spekulasi.

“Apabila anda mendengar sebarang spekulasi, menjadi tugas anda untuk mendapatkan kebenaran dan tanya mana buktinya. Cadangan saya kepada semua orang adalah berhenti daripada membuat spekulasi, khususnya berhubung senario politik, jika anda tidak berhenti daripada berbuat demikian anda akan jadikan negara lebih teruk,” katanya kepada Bernama.

Sebagai sebuah negara sedang membangun, Phang, yang juga pengasas dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Sosial berkata, adalah penting bagi setiap rakyat Malaysia untuk memberikan sokongan padu terhadap kepimpinan perdana menteri yang dipilih Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Beri beliau peluang untuk melakukan tugasnya. Kita telah sampai sejauh ini, kita mesti terus melihat kepada apa cara terbaik untuk maju. Jika anda melakukan sesuatu yang bodoh sekarang, seluruh dunia akan melihat kepada kita.

“Dalam apa juga keadaan, saya fikir rakyat Malaysia yang berfikir waras juga perlu menjadi amat berdaya tahan, perlu terus memberi sokongan kepada Dr Mahathir”.

Phang berkata kerajaan perlu terus menunaikan janji-janjinya untuk mengekalkan kepercayaan rakyat.

Beliau berkata perdana menteri telah menempa nama yang baik di seluruh dunia selama 22 tahun sebagai perdana menteri keempat.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This