Tajaan pendidikan Petronas, bantu keluarga keluar daripada kepompong kemiskinan
KUALA TERENGGANU,. Sejak kecil, Sazali Selamat tidak pernah memiliki baju baharu malah, pakaiannya disedekahkan oleh jiran tetangga, kerana kehidupan keluarganya yang miskin.
Namun, semuanya berubah apabila Sazali, 43, dipilih menerima biasiswa di bawah Program Biasiswa Kecil Petronas dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Hasil bantuan pendidikan dari Petronas itu, Sazali, anak ketiga daripada sembilan beradik, kini mampu menjawat jawatan sebagai Pengurus Bahagian Pengeluaran Minyak di Jabatan Pengeluaran, Petronas Penapisan (Terengganu) Sdn Bhd di Kerteh.
Sazali, anak jati Sabak Bernam, Selangor ini mengakui, kehidupannya semakin baik setelah menerima biasiswa tajaan di bawah syarikat Petroliam Nasional Berhad untuk melanjutkan pengajian ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) pada 1991.
“Selain yuran sekolah, Petronas juga menyediakan wang saku setiap bulan sepanjang lima tahun saya di sekolah menengah. Jadi, ayah (Selamat Basir, 73) tidak perlu lagi memikirkan belanja persekolahan saya dan beliau boleh fokus kepada pendidikan adik-beradik lain,” kata anak buruh itu kepada Bernama, baru-baru ini.
Lebih menarik, nasib terus menyebelahi Sazali apabila sekali lagi tersenarai antara penerima biasiswa di bawah Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) bagi melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor dalam jurusan Kejuruteraan Kimia pada 1996.
“Alhamdulillah, sekali lagi ayah tidak perlu risaukan perbelanjaan saya. Petronas bukan sahaja membiayai yuran pengajian lima tahun di UTM, tetapi turut memberikan sebuah komputer riba di samping elaun bulanan sepanjang tempoh pengajian saya,” katanya yang memulakan kerjaya di Petronas sejurus tamat pengajian pada 2000.
Pengalaman sama turut dikongsi isteri Sazali, Nor Sharihan Md Saad, 40, yang juga seorang daripada penerima PESP dan kini sebagai Pengurus Alam Sekitar di Petronas Chemicals Ethylene Polyethylene Sdn Bhd di Kerteh sejak pada 2005, selepas tamat pengajian.
Nor Sharihan berkata ayahnya Md Saad Md Isa, 71, hanya bekerja sebagai buruh di sebuah syarikat pengeluaran beras dan berpendapatan sekitar RM200 pada tahun 1980-an dan beliau dan seorang lagi adik perempuannya, hidup dalam serba kekurangan.
“Perbelanjaan harian kami sekeluarga terhad kepada RM3 sehari. Memandangkan rumah tidak mempunyai peti sejuk. Setiap hari, ibu (Halimah Abdul Latif, 68) akan membeli tiga ekor ikan kembung berharga RM1 dan ia cukup untuk kami sekeluarga,” kata anak jati Baling, Kedah itu.
Namun katanya, segalanya berubah apabila pengajiannya di Universiti Teknologi Petronas (UTP) dalam jurusan Kejuruteraan Kimia dari 1999 hingga 2004 ditanggung sepenuhnya oleh Petronas.
Berkongsi rahsia kejayaan, pasangan yang mempunyai lima anak itu berkata kemiskinan bukanlah alasan untuk mengabaikan pelajaran, malah ia merupakan pembakar semangat untuk seseorang mencapai kejayaan demi mengubah nasib keluarga.
“Kita juga harus sentiasa merendah diri dan jangan sesekali lupakan keluarga kita apabila telah mencapai kejayaan,” kata Nor Sharihan.
Sejak penubuhan program biasiswa itu pada 1975, Petronas telah menaja kira-kira 37,000 pelajar dengan keseluruh nilai tajaan lebih RM3.3 bilion menerusi PESP.
Sepanjang 2020, Petronas memperuntukkan lebih RM100 juta untuk membiayai pengajian 370 pelajar dalam pelbagai bidang berkaitan minyak dan gas di UTP, universiti tempatan yang terpilih serta universiti terkemuka di Amerika Syarikat, Australia, China, Jepun, Kanada, New Zealand dan United Kingdom.
— BERNAMA