Takiyuddin dedah ada surat campur tangan Tun M dalam kes batal aset taikun hartanah

Takiyuddin dedah ada surat campur tangan Tun M dalam kes batal aset taikun hartanah

KUALA LUMPUR,. Persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh seketika apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan mendakwa mempunyai salinan surat menunjukkan campur tangan Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Selain bekas Perdana Menteri itu, Takiyuddin turut mendakwa Lim Guan Eng dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mengarahkan pembatalan pembekuan aset taikun hartanah, Tan Sri Lim Soon Peng berkaitan kes berkenaan.

Beliau mendakwa, Soon Peng terlibat dalam pengubahan wang haram sebanyak RM4 juta daripada 1MDB.

“Ketika dihadapkan kepada Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Soon Peng meminta peguamnya untuk membuat surat represtasi kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 20 Oktober 2018.

“Apa yang berlaku, surat daripada peguam ini diminitkan oleh Perdana Menteri ketujuh (Dr Mahathir) pada masa itu. Minit itu berbunyi, ‘saya berpendapat, penyelewengan oleh mantan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) tidak boleh disalahkan (kepada) Tan Sri Lim (Soon Peng).

“Oleh itu pembekuan akaun peribadinya atau syarikatnya tidak boleh dikekalkan’. Ditandatangani, 5 Disember 2018, siap dengan cop Perdana Menteri,” dakwanya ketika mengulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Tindakan beliau itu menyebabkan beberapa Ahli Parlimen mencelah dan mempertikaikan perkara itu.

“Yang Berhormat Menteri, janganlah cuba misleading (mengelirukan) dewan. Tolonglah, ini misleading …,” kata Mohamed Hanipa (AMANAH-Sepang).

Beliau berkata, surat itu kemudiannya diminitkan sekali lagi oleh Guan Eng bertarikh 19 Februari 2019 yang meminta supaya SPRM segera menarik semula arahan pembekuan terbabit seperti yang diminta oleh Dr Mahathir.

Katanya, susulan surat itu, Tommy dilaporkan membalas kepada Guan Eng menerusi surat bertarikh 31 Mei 2019 mengenai arahan beliau kepada SPRM.

“Tak pernah berlaku dalam sejarah malah saya percaya surat representasi Yang Berhormat Sepang (Mohamed Hanipa Maidin) tidak pernah diminitkan sebegini,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau mengesyorkan Perkara 10(1)(c) dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan perlu dipinda sekiranya undang-undang berkaitan lompat parti mahu digubal.

“Jika Perlembangaan Persekutuan (Perkara 10(1)(C)) tak benarkan semua warganegara untuk membentuk persatuan, baru kita boleh gubal akta orang lompat parti,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )