Tanah Felda perlu diwarta sebagai tanah rizab Melayu – Pengerusi Yayasan Peneroka Negara
KUALA LUMPUR,. Kerajaan disaran agar mewartakan kesemua tanah Felda yang dimiliki peneroka sebagai tanah rizab Melayu.
Cadangan itu dikemukakan Pengerusi Yayasan Peneroka Negara Prof Datuk Dr Nik Mohd Zain Nik Yusof kerana bimbang tanah akan bertukar milik kepada pihak lain ekoran banyak tanah di kawasan Felda dibangunkan untuk perumahan dan tujuan komersial.
“…tanah Felda yang dimiliki peneroka lebih kurang satu juta ekar (404,685.6 hektar) kesemuanya hendaklah diwartakan sebagai tanah rizab Melayu yang mana ia dibolehkan di bawah perkara 89 (2) Perlembagaan Persekutuan.
“Dari statistik terbaharu saya, kita sangat bimbang kerana hari ini daripada 500,000 ekar (202,342.8 hektar) tanah komersial yang telah dibangun dan belum dibangunkan, yang hanya dimiliki oleh Melayu adalah dua peratus sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi salah seorang panel melalui panggilan video bagi program ‘Suara Profesor Negara Felda 2020: Berjayakah Transformasi Masyarakat Tidak Bertanah?’ yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Bernama TV, pada Jumaat.
Program berkenaan adalah program kerjasama Bernama dan Majlis Profesor Negara dan boleh ditonton di Bernama TV.
Menurut Nik Mohd Zain, cadangan untuk mewartakan tanah Felda itu pernah disuarakan Majlis Tanah Negara kepada kerajaan namun ditolak oleh beberapa negeri.
“Semasa saya menjadi setiausaha Majlis Tanah Negara, yang mana ahlinya terdiri daripada 10 menteri di peringkat persekutuan, semua menteri besar serta ketua menteri.
Kita (Majlis Tanah Negara) telah mencadangkan supaya negeri-negeri mewartakan tanah Felda di bawah rizab Melayu, tetapi malangnya ada negeri tidak bersetuju kerana nilainya rendah,” katanya.
Dalam pada itu, Canselor Universiti Nilai Prof Emeritus Datuk Tengku Shamsul Bahrin yang turut menjadi panel program tersebut berkata sudah tiba masanya untuk peneroka berdikari dan tidak terikat dengan Felda.
“…adakah Felda akan terus menjaga peneroka dari satu generasi ke generasi lain. Saya rasa masanya telah sampai, selepas 63 tahun, peneroka sepatutnya diserapkan dalam masyarakat dengan dianggap sebagai individu bukannya kelompok.
“Apa yang peneroka hendak buat dengan tanah mereka, itu terpulang. Saya rasa setakat ini Felda tidak tahu sama ada mereka akan menarik diri daripada menguruskan pentadbiran rancangan-rancangan ini atau membenarkan tanah rancangan ditadbir jabatan kerajaan lain.
“Pendapat saya, jika peneroka secara perseorangan ingin memajukan tanah sendiri, mereka ada pilihan dan tidak terikat kepada peraturan yang dikenakan Felda, mereka perlu kebebasan merancang kehidupan sendiri,” katanya.
— BERNAMA