Tanah runtuh Bukit Kukus: Kontraktor syarikat pembinaan didenda RM22,000

Tanah runtuh Bukit Kukus: Kontraktor syarikat pembinaan didenda RM22,000

GEORGE TOWN,. Kontraktor syarikat pembinaan bagi projek Pembinaan Jalan Berkembar Paya Terubong di Jalan Bukit Kukus, dekat sini, didenda RM22,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan gagal menyediakan prosedur kerja selamat.

Hakim Mazdi Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Syarikat Yuta Maju Sdn Bhd yang diwakili pengarah syarikat, Osmera Mamat, selepas beliau menukar pengakuan kepada bersalah pada Rabu.

Kes itu sepatutnya ditetapkan untuk perbicaraan pada Rabu.

Mahkamah mendenda RM20,000 bagi kesalahan pertuduhan pertama dan turut memerintahkan Osmera, yang merupakan Orang Kena Saman (OKS) dalam kes itu menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda itu, dan denda RM2,000 atau penjara dua minggu sekiranya gagal membayar bagi pertuduhan kedua yang dihadapi syarikatnya.

Bagi pertuduhan pertama, syarikat itu sebagai majikan didakwa gagal memastikan setakat yang praktik keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya dengan menyediakan prosedur kerja selamat bagi aktiviti mengangkat menggunakan kren bergerak sehingga menyebabkan rasuk jatuh di kawasan tapak pembinaan ‘Projek Pembinaan Sebahagian Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong Pulau Pinang’, pada pukul 8.30 malam, 11 Okt 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, syarikat tersebut yang merupakan kontraktor dilantik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi projek itu, didakwa gagal melantik pegawai keselamatan dan kesihatan yang kompeten di tempat kerja pada tarikh, masa dan tempat yang sama mengikut Seksyen 29(2) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang Mohd Najib Anuar memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap pengarah syarikat itu yang telah membuat pengakuan salah bagi memberikan pengajaran kepada majikan lain supaya tidak mengabaikan aspek keselamatan di tempat kerja pada masa akan datang.

“Pematuhan terhadap akta adalah sangat penting bagi memastikan setiap aktiviti yang dijalankan mempunyai prosedur kerja selamat dan analisis risiko serta kawalan terhadap risiko dapat dijalankan terlebih dahulu bagi memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja terjaga,” katanya.

Peguam S. Kanesh yang mewakili Osmera kemudiannya memohon mahkamah mengurangkan denda terhadap anak guamnya atas alasan kejadian yang berlaku adalah akibat angin kencang yang tidak dijangka.

Sementara itu, di mahkamah sama, Mazdi menetapkan 19 Feb ini sebagai tarikh perbicaraan bagi kes yang dihadapi Osmera dan pengarah projek syarikat itu Lai Sin Kian, yang berdepan pertuduhan pindaan gagal menyediakan prosedur kerja selamat sehingga menyebabkan kejadian tanah runtuh di tapak projek di Jalan Bukit Kukus pada 1.50 tengah hari, 19 Okt 2018.

Mengikut pertuduhan pindaan, Lai dan Yuta Maju, masing-masing didakwa sebagai majikan telah gagal mengadakan pengiraan kejuruteraan oleh jurutera bertauliah bagi kerja-kerja ‘backfill’ atau menampung tanah untuk cerun sementara sehingga menyebabkan kejadian tanah runtuh pada pukul 1.50 tengah hari, 19 Okt 2018.

Lai dan Yuta Maju, yang diwakili Osmera, dituduh mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang Norliza Abu Othman.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This