Tanah runtuh: Mayat tiga sekeluarga, abu, tiba di Melaka untuk upacara penghormatan terakhir

Tanah runtuh: Mayat tiga sekeluarga, abu, tiba di Melaka untuk upacara penghormatan terakhir

ALOR GAJAH,. Suasana pilu menyelubungi sebaik sahaja mayat tiga sekeluarga bersama abu seorang lagi ahli keluarga yang sama, tiba di kediaman waris mereka di sini, semalam.

Kesemuanya yang berasal dari Machap Baru, di sini, merupakan mangsa tanah runtuh di Batang Kali, Jumaat lepas.

Mayat pasangan suami isteri Lai Chee Sam, 33 dan Lai See Tin dan anak lelaki mereka berusia dua tahun Jonas Lai Ze Kai serta abu anak perempuan mereka Giselle Lai Yu Xi, 6, tiba di pekarangan kediaman itu di Taman Machap Indah, Machap Baru pada 3.45 petang.

Ketua Kampung Machap Baru Micheal Tai berkata mayat Giselle telah dibakar terlebih dahulu mengikut upacara ditetapkan di Tanah Perkuburan Cina Kesang, Jasin, semalam.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir dan mengucapkan takziah adalah Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu, selain hampir 50 ahli keluarga dan penduduk sekitar.

Terdahulu, Chee Sam dijumpai dan disahkan meninggal dunia pada 18 Disember sementara isteri dan anak lelakinya berumur dua tahun ditemukan pada keesokan hari (19 Disember) manakala anak perempuannya pada malam Selasa (20 Disember).

Upacara pembakaran akan dilakukan Selasa ini di Tanah Perkuburan Cina Kesang, Jasin.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This