Tarikh akhir kemuka BNCP bagi syarikat, koperasi, perkongsian liabiliti terhad, badan amanah dan petroleum kekal – LHDNM

KUALA LUMPUR,. Tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) untuk tahun taksiran 2019 dan 2020 bagi syarikat, koperasi, perkongsian liabiliti terhad, badan amanah dan petroleum kekal seperti termaktub dalam Program Memfail Borang Nyata Tahun 2020 (Pindaan 3/2020).

Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Program Memfail Borang Nyata itu yang dikemas kini 28 April lepas telah mengambil kira kesan penularan COVID-19 dan tambahan masa dua serta tiga bulan diberi secara automatik kepada pembayar cukai yang layak.

Bagaimanapun pembayar cukai yang tidak dapat berbuat demikian dalam tempoh ditetapkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar boleh membuat permohonan lanjutan masa tambahan kepada LHDNM.

Menurut LHDNM, permohonan tersebut hendaklah dibuat secara bertulis dan dialamatkan terus kepada cawangan LHDNM yang mengendalikan fail cukai mereka.

“Setiap permohonan yang diterima akan diteliti berdasarkan merit kes dan keputusan permohonan akan dimaklumkan kepada pemohon,” jelas LHDNM dalam satu kenyataan hari ini.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh diajukan kepada LHDNM melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara), HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )