
Tayangan filem ‘Black Widow’ ditangguh lagi
STUDIO Disney sekali lagi menangguhkan ‘Black Widow’ dan beberapa filem adiwira yang lain serta animasi, langkah yang sedikit mematahkan harapan bahawa panggung filem AS yang baharu sahaja dibuka akan kembali pulih selepas setahun ditutup berikutan pandemik.
‘Black Widow’ yang dibintangi oleh Scarlett Johansson sebelum ini diumumkan sebagai tayangan musim bunga utama untuk menarik peminat kembali ke panggung wayang yang dibenarkan dibuka dalam kapasiti terhad di Los Angeles baru-baru ini dan di New York pada awal bulan ini.
Ia kini akan ditayangkan pada 9 Julai, dua bulan kemudian daripada tarikh yang diumum sebelumnya, dan akan tersedia secara serentak di platform striming Disney+ untuk penonton di rumah, dengan bayaran tambahan bagi yang telah melanggan perkhidmatan striming berkenaan.
Disney, yang semakin mengutamakan striming dan telah melakukan cubaan demi cubaan terhadap model tayangan yang berbeza semasa pandemik, berkata langkah itu menggambarkan “pilihan penonton yang semakin berkembang” dalam satu pasaran “yang semakin pulih daripada pandemik global.”
Berita itu bagaikan satu tamparan yang hebat kepada rangkaian pawagam yang telah berdepan dengan kerugian yang besar semasa penutupan selama setahun yang tidak pernah terjadi sebelumnya yang turut melihat ‘jendela’ tradisional di mana filem-filem baharu hanya dapat dilihat di skrin besar tidak lagi begitu.
Animasi berinspirasikan Itali berjudul ‘Luca’ dari Pixar kini hanya akan ditayangkan di Disney+, bermula dari 18 Jun, manakala aksi sebenar ‘Cruella’ yang menampilkan Emma Stone akan muncul di skrin besar dan kecil dari 28 Mei, kata syarikat itu.
‘Black Widow’ pada mulanya dijadual untuk ditayangkan pada Mei 2020, sebelum situasi jangkitan COVID-19 semakin memburuk. Penangguhan tayangannya sekali lagi bermakna filem lain dalam francais Marvel, ‘Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings’, turut ditunda hingga September.
‘Kesan domino’ berkemungkinan akan memberi kesan kepada tayangan utama dari studio Hollywood lain yang mahukan slot musim panas yang menguntungkan.
Walaupun panggung Los Angeles kini dibuka semula, pemerhati industri Exhibitor Relations memberi amaran “pembukaan semula masih lagi perlahan di box office.”
Filem teratas Amerika Utara, ‘Raya and the Last Dragon’ dari Disney, mencatat kutipan jualan tiket hanya AS$5.1 juta di hampir 2,300 pawagam.
Namun ada beberapa berita gembira bagi pawagam dengan laporan yang Cineworld, pemilik rangkaian kedua terbesar Amerika Utara, Regal, membuat perjanjian dengan Warner Bros untuk menayangkan filem-filem studio itu secara eksklusif di skrin besar bagi ‘jendela’ 45 hari pada tahun hadapan.
Warner Bros telah membuatkan pemilik pawagam dan pembikin filem penting di Hollywood marah apabila ia mengumumkan kesemua filem-filemnya akan tersedia dari hari pertama lagi di perkhidmatan strimingnya di HBO Max.
— AFP