Tempoh suram untuk pengusaha colok tradisional menjelang Tahun Baharu Cina

Tempoh suram untuk pengusaha colok tradisional menjelang Tahun Baharu Cina

BUKIT MERTAJAM,. La-zimnya, menjelang minggu-minggu terakhir sebelum sambutan Tahun Baharu Cina, pembuat colok tradisional Ong Chin Chye tidak menang tangan menyiapkan tempahan, namun lain pula kisahnya pada sambutan kali ini.

Hanya seminggu sebelum sambutan itu diraikan minggu depan, Ong, 61, berkata pandemik COVID-19 menyebabkan permintaan terhadap colok merosot lebih 30 peratus sejak Mac tahun lepas.

“Tahun lepas, kami terpaksa bersengkang mata untuk menyiapkan tempahan termasuk dari Kuala Lumpur, Kelantan, Kedah, Perlis, Perak, malahThailand. Kami mulakan kerja seawal jam 8 pagi dan hanya berhenti lewat tengah malam,” katanya ketika ditemui Bernama di kilangnya di Kubang Semang di sini.

Menurut Ong, sebahagian pekerjanya juga kini hanya bekerja separuh masa bagi memenuhi tempahan yang kebanyakan diterima daripada orang perseorangan.

“Dahulu, kami terima tempahan secara pukal daripada tokong, namun kini tokong tidak dibenarkan beroperasi disebabkan Perintah kawalan Pergerakan (PKP), sekali gus menjejaskan perniagaan. Kami sekarang bergantung pada tempahan orang perseorangan untuk kelangsu-ngan perniagaan,” katanya.

Menurut Ong, perniagaannya masih dapat bertahan ke-rana kebanyakan pelanggannya suka colok buatan tangan berbanding yang dihasilkan menggunakan mesin.

“Atas sebab itu saya masih mengekalkan kaedah tradisional untuk membuat colok. Proses paling sukar menghasilkan colok besar ialah membuat bentuk naga pada lapisan luar, terutamanya jenis tiga dimensi yang menjadi pilihan ramai sekarang,” katanya.

Beliau yang belajar membuat colok daripada neneknya semasa berusia 14 tahun, turut menjelaskan lazimnya semasa sambutan Tahun Baharu Cina, colok berbentuk naga bersaiz sederhana yang berukuran 18 meter hingga 2.3 meter, berharga antara RM18 dan RM60, menjadi pilihan ramai.

Katanya, dia dibantu oleh 14 pekerja untuk menghasilkan lebih 150 colok bersaiz se-derhana sehari dengan 50 reka bentuk serta pelbagai warna.

“Saya tidak naikkan harga semasa Tahun Baharu Cina kerana saya faham sekarang adalah tempoh mencabar, semua orang sedang menghadapi kesukaran dan saya harap pandemik ini dapat dikawal tidak lama lagi dan kita kembali menjalani kehidupan seperti sebelum ini,” katanya.

Beliau juga bersetuju PKP pen-ting bagi menyelamatkan nyawa memandangkan masih ramai dalam kalangan masyarakat bersikap sambil lewa terhadap pematuhan prosedur operasi standard, selain menyatakan harapan agar kerajaan terus menjaga kebajikan pengusaha kecil dan sederhana sepertinya yang terjejas dek penularan COVID-19 itu.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This