Terkejut, reda anak dan cucu maut kemalangan ketika pulang bercuti dari Cameron Highlands

Terkejut, reda anak dan cucu maut kemalangan ketika pulang bercuti dari Cameron Highlands

IPOH,. Keluarga mangsa kemalangan membabitkan seorang wanita bersama bayinya terkejut namun reda dengan kematian dua beranak itu dalam kemalangan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat sini, tengah hari semalam.

Ibu mangsa, Nor Asikin Ahmad, 50, berkata kali terakhir dia berjumpa anaknya Nor Syahira Mohd Fadhail, 23, adalah pada pagi Ahad selepas membelikan juadah makanan tengah hari.

“Pagi itu dia membeli makanan untuk makan tengah hari sehinggakan saya bertanya kenapa begitu awal dia siapkan lauk dan beliau memberitahu dia lapar.

“Petang itu dia bergerak ke Ipoh untuk bercuti dan rancang pulang semula ke Gurun petang tadi kerana suaminya perlu bekerja,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini malam tadi.

Nor Asikin menyifatkan anaknya merupakan seorang yang kurang berkongsi cerita namun amat rapat dengan tiga adik-beradiknya.

“Kali terakhir saya menghubungi Allahyarham adalah pada sekitar pukul 11 pagi menerusi aplikasi WhatsApp kerana mahu memesan supaya belikan strawberi dan jagung.

“Saya dapat tahu berita ini daripada Kumpulan WhatsApp taman perumahan kira-kira pukul 1 tengah hari daripada seorang kelindan lori yang melalui jalan tersebut dan segera bergegas ke sini,” katanya dalam nada sebak.

Beliau berkata anak dan menantunya sering ke Cameron Highlands dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi namun kali ini menaiki kereta kerana membawa bersama bayi mereka.

“Jenazah anak perempuan dan cucu saya akan disolatkan di Masjid di Gurun, Kedah dan dikebumikan di Tanah perkuburan di sekitar Taman Jerai Indah Mas,” katanya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 12.46 tengah hari tadi melibatkan kematian Nor Syahira dan bayinya yang berusia tiga bulan di tempat kejadian manakala suaminya Amyroul Shah Huszaiery, 23, cedera parah

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Myvi dinaiki keluarga itu dari arah Cameron Highlands sedang menuruni bukit di sebuah selekoh sebelum bertembung dengan kereta Mercedes Benz yang dipandu seorang lelaki yang hanya cedera ringan.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This