Terminal feri di Labuan dijangka lebih sibuk, sesak menjelang Aidilfitri
LABUAN,. Dua terminal feri di Labuan dijangka lebih sibuk daripada biasa menjelang sambutan Aidilfitri, ditambah pula dengan pembukaan semula sempadan Malaysia kepada pengembara luar negara sejak 1 April lepas.
Mereka yang merancang untuk menaiki feri ro-ro (roll on-roll off) atau bot penumpang pada hujung minggu ini perlu menempah tiket lebih awal, bersedia untuk menunggu lama selain tiba awal, demikian peringatan operator feri kepada penumpang dan pemilik kenderaan.
Dua operator feri Labuan Mainland Link Sdn Bhd dan Juta Bonus Sdn Bhd mengesahkan bahawa tempahan tiket sudah penuh untuk 27 April hingga 2 Mei.
Pengarah Jabatan Laut Labuan Alimuddin Amirudin memberitahu Bernama, jabatannya meluluskan 12 perjalanan sehari bagi dua operator feri itu bagi laluan Labuan-Menumbok-Labuan dan dua perjalanan ulang-alik bagi laluan Muara, Brunei.
Beliau berkata operator feri Labuan Mainland Link Sdn Bhd yang mengendalikan tiga feri iaitu Kimanis 1, Purajaya 1 dan Goodwill Star menyediakan sembilan perjalanan, manakala feri Galaxy yang dikendalikan Juta Bonus Sdn Bhd menawarkan tiga perjalanan sehari untuk perayaan itu.
“Feri ini belayar setiap jam berbanding setiap dua atau tiga jam pada hari biasa, kami sudah menjangkakan lonjakan permintaan untuk hari raya nanti kerana pengembara akan berpusu-pusu ke kaunter tiket untuk pulang ke tanah besar Sabah,” katanya hari ini.
Alimuddin berkata jabatannya juga sentiasa menyokong perkhidmatan feri untuk perjalanan tambahan berikutan permintaan tinggi ribuan pengembara yang ingin pulang ke kampung di Sabah untuk menyambut Aidilfitri.
“Kami menjangkakan dua pengendali feri ini akan mengemukakan permohonan untuk perjalanan tambahan, kami akan memberi pertimbangan untuk kelulusan,” katanya.
Beliau berkata Jabatan Laut Labuan menjangkakan 18,000 penumpang dan 4,000 kenderaan akan menaiki feri 10 hari sebelum perayaan, dan ia akan meningkat kepada sekurang-kurangnya 10 peratus dengan tambahan satu perjalanan.
Pengerusi Labuan Mainland Datuk Chin Hon Vui berkata sambutan Aidilfitri tahun ini adalah paling sibuk dalam sejarah selepas dua tahun tidak dapat beraya disebabkan pandemik COVID-19.
“Bagi mereka yang ingin menaiki kapal, perlu diingat penting untuk tiba ke terminal awal sekurang-kurangnya 45 minit sebelum berlepas…jangan datang terlalu awal sehingga terminal menjadi sesak…ikut jadual perjalanan yang diberikan,” katanya.
Pengurus Labuan Point Enterprise Sdn Bhd – syarikat ejen tiket Terminal Feri Labuan – Ling Song Thieng berkata pihaknya menjangkakan keadaan di terminal lebih sibuk dan sesak, justeru penumpang diingatkan supaya merancang perjalanan mereka sebaiknya.
Pengurus Binabalu Sdn Bhd – ejen tiket Juta Bonus – Lo Pei Ling pula berharap agar Jabatan Laut Labuan meluluskan permohonan perjalanan tambahan bagi mengelakkan orang ramai terkandas di terminal feri.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif LDA Labuan (Holdings) Sdn Bhd Mohammad Ridzuan Ibrahim berkata Terminal Feri Antarabangsa Labuan yang mengendalikan penumpang menaiki feri ke beberapa destinasi ke Sabah (Kota Kinabalu, Sipitang dan Menumbok) serta Limbang dan Lawas di Sarawak telah mendapat kelulusan untuk satu ke dua perjalanan (berdasarkan destinasi dan tarikh).
— BERNAMA