Tersenarai dalam Forbes, kejayaan buat usahawan muda tempatan
KUALA LUMPUR,. Tersenarai sebagai antara 30 individu bawah 30 tahun di Asia oleh Forbes bukan satu perkara yang mudah, ianya adalah satu pencapaian kepada sesiapa saja.
Inilah yang dilalui oleh Dr Wan Hasifi Amin Wan Zaidon, yang tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2020, bagi kategori teknologi pengguna.
Wan Hasifi berkata, ketika dia mula menubuhkan aplikasi dan portal mencari jodoh muslim, dia tidak pernah menyangka akan mendapat pengiktirafan sebegini.
Beliau berkata, portal mencari jodoh yang dikenali sebagai Baituljannah.com itu bukanlah sekadar platform mencari jodoh.
“Baituljannah.com mempunyai matlamat yang jelas dalam memberikan impak positif kepada masyarakat dalam skala yang besar.
“Mungkin ada yang sudah tahu dan ada yang belum tahu bahawa terdapat 400 juta orang muslim yang masih belum berkahwin di seluruh dunia.
“Baituljannah.com mempunyai matlamat jangka masa panjang untuk membantu seramai 400 juta orang muslim yang berkahwin ini dalam proses pencarian pasangan yang menuju ke arah perkahwinan.
“Matlamat jangka masa panjang Baituljannah.com inilah yang menjadi sebab mendapat pengiktirafan Forbes 30 under 30 Asia 2020.
“Perkahwinan adalah aspek yang paling penting dalam setiap muslim di mana seseorang muslim akan menyaring calon pasangannya dengan teliti sebelum berkahwin,” katanya.
Wan Hasifi berkata, Baituljannah.com adalah platform cari jodoh muslim yang berkesan membantu meningkatkan kadar perkahwinan dalam kalangan muslim di Malaysia, Singapura dan Brunei.
Tambahan pula katanya dengan penerapan nilai-nilai murni keagamaan, secara memberi implikasi-implikasi positif dalam masyarakat yang mampu membawa pembentukan masyarakat yang harmoni dan bahagia.
Faktor ini katanya penting dalam menyumbang kepada peningkatan kepentingan pendidikan, kualiti hidup, kualiti kesihatan dan peningkatan jangka hayat secara purata.
“Institusi rumah tangga juga menjadi pendorong kepada peningkatan ekonomi negara” katanya.
Mengulas lanjut Wan Hasifi berkata, pengiktirafan ini juga menjadi batu loncatan kepadanya untuk memperluaskan lagi Baituljannah ke pasaran Indonesia pada 2021.
Beliau berkata, pihaknya menyasarkan untuk memasuki pasaran global terutamanya di negara Asia Barat jika perancangannya di Indonesia berjaya.
“Asia Barat mempunyai 313 juta penduduk dan sekitar 58 peratus sudah mempunyai akses internet iaitu sekitar 180 juta orang. Ini bermakna, pasaran sudah tersedia dan hanya cuma tinggal untuk diteroka.
“Peratusan muslim di Asia Barat lebih 89 peratus. Ia adalah peluang bukan saja kepada kami tetapi usahawan lain yang ingin memfokuskan kepada pasaran muslim.
“Walaubagaimanapun, harus diambil kira dari segi cabarannya. Antara cabaran ialah bahasa, budaya dan undang-undang di setiap negara,” katanya.
Wan Hasifi berkata, secara peribadinya, dia juga ingin berkongsi ilmu secara percuma kepada masyarakat terutamanya kepada para usahawan digital yang baru ingin menceburkan diri.
Beliau berkata, keinginannnya berkongsi pengalaman membangunkan perniagaan digital sehingga mendapat pengiktirafan di peringkat global walau tanpa sebarang bantuan kewangan daripada mana-mana pihak.
Baituljannah berfungsi sebagai platform mencari jodoh dengan menapis akaun secara manual melalui pengesahan nombor telefon untuk mengelakkan akaun palsu.
Terdapat individu ketiga dalam perbualan bagi mengelakkan perbualan yang tidak sepatutnya berlaku.
Terdapat fungsi yang dipanggil Meter Taaruf Luar yang meternya sentiasa meningkat sepanjang calon pasangan bermesej.
Apabila Meter Taaruf Luar tersebut penuh, sistem secara automatik akan membenarkan calon pasangan untuk berkongsi nombor telefon melalui Borang Taaruf Luar.
Semasa mengisi Borang Taaruf Luar, calon pasangan diminta untuk menghantar gambar salinan kad pengenalan untuk proses verifikasi sebagai langkah keselamatan.
“Setelah itu baru mereka boleh berkongsi nombor telefon melalui Borang Taaruf Luar tersebut. Meter Taaruf Luar pula penting untuk memastikan hanya calon pasangan yang telah berkenalan lebih lanjut dan mencapai meter penuh sahaja yang meneruskan langkah untuk berjumpa di luar kerana kami percaya sekiranya mereka tidak tahu apa yang untuk diceritakan di ruangan mesej besar kemungkinannya mereka tidak mempunyai kesepadanan yang tinggi.
“Oleh itu, untuk mencapai meter penuh, calon pasangan memerlukan kesepadanan yang tinggi agar mereka boleh ke langkah seterusnya iaitu Borang Taaruf Luar,” katanya.
Wan Hasifi berkata, privasi pengguna terjamin kerana nama, nombor telefon dan emel anda adalah dirahsiakan dan tidak dipaparkan di profil.
Beliau berkata, berdasarkan data pihaknya, seramai 2,611 pasangan sudah berkahwin setelah berkenalan melalui Baituljannah.
Pasangan yang sedang berkenalan dan telah mengisi Borang Taaruf Luar adalah sebanyak 13,000 pasangan iaitu bersamaan dengan sekitar 26,000 orang.
“Sasaran kami adalah sebanyak 100,000 pasangan berkahwin melalui perkenalan di Baituljannah dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.