Tewaskan Kuala Lumpur satu kemenangan moral untuk Selangor United

KUALA LUMPUR,. Kemenangan 1-0 yang diraih Selangor United ke atas Kuala Lumpur pada aksi Kumpulan B saingan Piala Cabaran di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi, mengubat duka pasukan berkenaan yang mempamerkan aksi hambar dalam penyertaan sulung mereka pada kejohanan berkenaan musim ini.

Ketua jurulatih Selangor United, Abdul Talib Sulaiman menjelaskan keputusan positif berkenaan merupakan satu kemenangan moral kepada pemainnya yang boleh dilabelkan sebagai ‘pasukan belasahan’ selepas gagal mencatat sebarang kemenangan pada empat perlawanan terdahulu, selain turut melepaskan 10 gol sebelum ini.

Bekas pemain kebangsaan itu mendedahkan perlawanan berkenaan menjadi medan untuk dirinya memilih barisan terbaik yang akan mewakili Selangor United dalam saingan Liga Premier 2020.

“Apa yang dipraktikkan pada sesi latihan, telah diterjemahkan para pemain pada perlawanan ini, dan kemenangan ini membuktikan kita juga mampu bersaing dengan pasukan Kuala Lumpur yang beraksi dalam Liga Super.

“Keputusan ini melonjakkan moral pemain, dan walaupun kita sudah tidak layak ke separuh akhir, sekurangnya-kurangnya kita mendapat tiga mata,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berkenaan.

Dalam pada itu, pengendali sementara Kuala Lumpur, Roslee Md Derus berkata beliau berpuas hati dengan komitmen dan persembahan yang dipamerkan barisan kedua skuad warga kota yang diturunkan pada perlawanan berkenaan.

“Kebanyakan pemain adalah pertama kali diberi peluang bermain, dan saya rasa tiada isu dari segi komitmen pemain, cuma kita tidak sempurnakan peluang untuk menjaringkan gol,” jelasnya yang merupakan bekas pemain kebangsaan.

Pada aksi di Cheras, Rafiq Shah Zaim menjaringkan gol tunggal untuk Selangor United pada minit ke-67.

Untuk rekod, Selangor United dan Kuala Lumpur sudah tidak layak ke separuh akhir Piala Cabaran setelah mengutip tiga mata selepas lima perlawanan.

Juara bertahan, Terengganu FC II dan UKM FC yang sudah menempah tiket ke separuh akhir daripada Kumpulan B akan berentap di venue yang sama malam ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )