TF Value-Mart sasar buka tiga cawangan baharu

TF Value-Mart sasar buka tiga cawangan baharu

BALIK PULAU,. Rangkaian pasar raya TF Value-Mart milik Syarikat TF Value-Mart Sdn Bhd akan membuka tiga lagi cawangan baharu sebelum sambutan Aidilfitri pada Mei depan.

Ketua Pegawai Eksekutif TF Value-Mart Ho Mun Hao berkata kumpulan itu telah mengenalpasti lokasi sesuai di kawasan luar bandar di Johor manakala dua lagi di Perak.

“Kerja-kerja pembinaan sedang giat dijalankan di lokasi itu. Setakat ini TF Value-Mart mempunyai 33 cawangan di seluruh negara termasuk yang terbaharu di Balik Pulau ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pembukaan rasmi TF Value-Mart yang juga cawangan pertama syarikat itu di Pulau Pinang, hari ini.

Perasmian itu telah disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Ho berkata syarikat itu juga sentiasa meninjau lokasi sesuai bagi pembukaan cawangan baharu khususnya di Pulau Pinang selain bekerjasama dengan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) untuk meningkatkan pasaran produk di pasar raya itu.

Menurutnya, adalah dijangkakan lebih 6,000 orang akan mengunjungi TF Value-Mart di Bandar Baru Air Putih, di sini pada bulan pertama pembukaannya.

Beliau juga berharap pasar raya itu mampu merancakkan ekonomi kawasan sekitar selain memudahkan kira-kira 180,000 penduduknya mendapatkan pelbagai barangan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )