Thailand bincang usaha serius tangani penularan demam babi Afrika

BANGKOK,. Menteri Pertanian dan Koperasi Chalermchai Sri-on menubuhkan satu jawatankuasa kebangsaan bagi membincangkan langkah-langkah pengawalan dan pembasmian demam babi Afrika (ASF) pada 15 Nov, lapor Agensi Berita Thailand (TNA).

Chalermchai berkata Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha membentuk jawatankuasa itu pada 15 Okt yang diketuainya manakala Timbalan Perdana Menteri Jurin Laksanavisit, sebagai timbalan ketua jawatankuasa tersebut, akan mengadakan mesyuarat pada 15 Nov bagi membincangkan dasar dan langkah menangani penyakit itu selain membantu mereka yang terjejas.

Kerajaan, sektor swasta, perusahaan negara, organisasi pentadbiran tempatan dan pihak lain akan mengambil bahagian dalam usaha itu yang membabitkan pengawasan berkesan serta cekap selain pelaksanaan dasar dan langkah yang relevan, kata Chalermchai.

Jabatan Pembangunan Ternakan melaporkan pada 8 Okt bahawa 27 wilayah di negara itu telah diisytihar sebagai zon bagi pengawasan ASF dan 22 daripadanya adalah berhampiran dengan kawasan sempadan.

“Meskipun ASF tidak ditularkan daripada haiwan kepada manusia, kementerian pertanian meletakkan kepentingan dalam pengawasan dan pencegahan kerana ia adalah epidemik yang teruk dalam kalangan babi, kadar kematian ialah 100 peratus dan belum ada vaksin atau ubat untuk menyembuhkannya… Thailand memerlukan langkah bagi mencegah kerosakan terhadap ekonominya,” kata Chalermchai

ASF merebak di China, Vietnam, Kemboja, Laos, Myanmar, Filipina dan Korea Selatan, katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )