Thailand lancar Festival Musim Sejuk tarik pelancong antarabangsa
BANGKOK: Thailand melancarkan Festival Musim Sejuk, menganjurkan beberapa siri acara meriah yang berlangsung dari November hingga Disember bertujuan untuk menjadikan Negara Gajah Putih itu sebagai destinasi acara global.
Dianjurkan Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) di bawah Kementerian Pelancongan dan Sukan, festival ini merupakan usaha kerjasama melibatkan sektor awam dan swasta untuk mencipta pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi pengunjung.
Dari November hingga Disember tahun ini, Festival Musim Sejuk Thailand akan menampilkan sambutan akhir tahun dengan tujuh tema unik, termasuk Festival Loi Krathong, Acara Kiraan Detik Tahun Baharu, Acara Sukan, Acara Kebudayaan, Festival Makanan, Festival Muzik dan Festival Pencahayaan.
Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra berkata kerajaan komited menjadikan pelancongan sebagai pemacu utama ekonomi negara, mewujudkan pekerjaan, mengagihkan pendapatan kepada komuniti tempatan, serta memperluas jangkauan pelancongan Thailand di pasaran global dengan matlamat menjadikan Thailand sebagai destinasi terkemuka di Asia Tenggara.
“Kerajaan sedang memajukan dasar ‘Ignite Thailand Tourism’, yang memanfaatkan kuasa lembut budaya Thailand untuk mempromosikan festival, aktiviti, dan acara yang penting bagi pertumbuhan ekonomi mampan serta meningkatkan imej Thailand sebagai destinasi acara bertaraf dunia,” katanya dalam ucapan perasmian semasa pelancaran rasmi di Rumah Kerajaan pada Selasa.
Di bawah tema ‘7 Keajaiban Thailand’, siri festival ini akan menampilkan barisan acara luar biasa di seluruh negara.
Menteri Pelancongan dan Sukan Sorawong Thienthong pula menegaskan Thailand sedang maju ke arah menjadi hab acara bertaraf dunia melalui usaha gabungan Kementerian Pelancongan dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Pentadbiran Metropolitan Bangkok, serta pelbagai pihak berkepentingan sektor awam dan swasta.
“Kerjasama ini direka untuk meningkatkan festival tradisional Thailand mengikut piawaian antarabangsa, menonjolkan budaya tempatan untuk khalayak global. Dengan menganjurkan acara bertaraf dunia dalam festival muzik, sukan, dan kebudayaan, inisiatif ini bertujuan merancakkan pelancongan domestik dan antarabangsa, memanjangkan tempoh penginapan, dan meningkatkan perbelanjaan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi,” jelasnya.
— BERNAMA