Thailand perketat kawalan di sempadan ekoran sekatan di Malaysia

Thailand perketat kawalan di sempadan ekoran sekatan di Malaysia

BANGKOK,. Thailand memperketatkan kawalan di sempadan dengan Malaysia untuk mencegah warga Thai dan pekerja asing daripada cuba menyelinap masuk ke negara itu berikutan Sekatan Pergerakan Penuh di Malaysia selama 14 hari, bermula hari ini.

Dalam usaha membendung aktiviti merentas sempadan negara secara tidak sah semasa penularan pandemik COVID-19, Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) telah mengarahkan pasukan keselamatan mempertingkat kawalan khususnya laluan-laluan tikus di empat wilayah Thailand yang bersempadan dengan Malaysia iaitu Narathiwat, Yala, Songkhla dan Satun.

Komander Tentera Wilayah Ke-4, Leftenan Jeneral Kriangkrai Srirak berkata pasukan keselamatan yang terdiri daripada tentera, renjer dan Border Patrol Police mempergiatkan kawalan dan pemantauan di sempadan darat, air dan udara.

“Kami juga memperketat kawalan sempadan melalui tinjauan udara menggunakan dron dan helikopter,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Malaysia melaksanakan Sekatan Pergerakan Penuh fasa pertama yang bermula hari ini sehingga 14 Jun, sebagai langkah untuk melandaikan semula lekuk penularan COVID-19 yang melonjak sejak awal April lepas.

Berikutan itu, warga Thai yang bekerja di Malaysia dijangka pulang ke tanahair untuk mengelak sekatan itu.

Sementara itu, Komander Divisyen Infantri Ke-5, Mejar Jeneral Santi Sakuntanak berkata pasukan keselamatan akan mempergiatkan rondaan di Waeng, Sungai Kolok dan Tak Bai di Narathiwat.

Beliau berkata pasukan keselamatan akan mempertingkat pemantauan dan rondaan di laluan hotspot serta memasang kawad berduri untuk mencegah mana-mana pihak yang cuba menyelinap masuk.

“Warga Thai yang kini berada di Malaysia dan ingin pulang digalak menggunakan pintu masuk sempadan negara yang sah,” katanya.

Sementara itu, Gabenor Songkhla, Jaruwat Kliangklao berkata pagar sempadan Thailand-Malaysia di Sadao berhampiran Kedah dan Perlis yang dirosakkan telah dibaikpulih untuk membendung warga Thai dan juga warga asing daripada menyelinap masuk ke Thailand.

“Pasukan keselamatan turut melakukan rondaan di hotspot untuk mengekang mereka merentas sempadan dan mengelak kuarantin mandatori,” katanya.

Thailand telah memperketat kawalan sempadan selepas varian Afrika Selatan dikesan awal bulan ini melibatkan mereka yang masuk melalui sempadan secara haram.

Kes tempatan varian Afrika Selatan pertama dilaporkan membabitkan seorang peniaga Thailand berusia 32 tahun dari Tak Bai, Narathiwat, yang dikunjungi ahli keluarga dari Malaysia.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )