Thailand sahkan satu kes baharu COVID-19, jumlah keseluruhan 41

BANGKOK,. Thailand mengesahkan satu lagi kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 41, menurut seorang pegawai kanan kesihatan hari ini.

Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Thailand, Dr Sukhum Kanchanapimai berkata kes baharu itu melibatkan seorang lelaki berumur 25 tahun, bekerja sebagai pemandu pelancong.
“Lelaki itu baru saja pulang dari Korea Selatan. Dia mendapatkan rawatan di hospital kerana mengalami batuk dan demam pada Selasa. Ujian makmal mengesahkan dia dijangkiti COVID-19. Keadaannya dilaporkan bertambah baik,” katanya pada taklimat harian COVID-19, di sini.

Dr Sukhum berkata pihak berkuasa kesihatan sedang mengesan dua individu yang mempunyai kontak rapat serta mereka yang berada dalam kumpulan pelancong bersama lelaki berkenaan.
Sehingga kini, 41 kes COVID-19 dilaporkan di Thailand dengan 28 daripada mereka telah pulih sepenuhnya dan telah keluar hospital, manakala 13 lagi pesakit masih menerima rawatan.

Terdapat 420 kes PUI (pesakit yang disiasat) bagi COVID-19 di negara itu.

Sementara itu, Perdana Menteri Thailand, Jen Prayuth Chan o-cha berkata kerajaan memperkenalkan pakej rangsangan untuk merangsang sektor pelancongan yang mengalami kesan buruk berikutan COVID-19.

Beliau turut menggesa agar orang ramai menjalani kuarantin sendiri selama 14 hari selepas kembali daripada negara berisiko dan melaporkan rekod perjalanan mereka ketika mendapatkan rawatan di hospital.

“Rakyat Thai termasuk penjawat awam perlu mengelak daripada melakukan perjalanan ke negara yang dijangkiti COVID-19. Kesihatan awam adalah keutamaan kami,” katanya di Parlimen.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )