Thailand sudah bersedia hos Sidang Kemuncak ASEAN ke-35

Thailand sudah bersedia hos Sidang Kemuncak ASEAN ke-35

BANGKOK,. Pengerusi ASEAN, Thailand bersedia untuk menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 dan Sidang Kemuncak Berkaitan 2019 dari 2 hingga 4 Nov di Bangkok.

Jurucakap Kerajaan, Narumon Pinyosinwat berkata semua perhatian tertumpu kepada Thailand kerana negara itu akan menjadi hos sidang kemuncak di Pusat Pameran dan Konvensyen IMPACT di Nonthaburi, barat laut Bangkok.

“Pemimpin dunia memberi perhatian pada sidang kemuncak yang akan datang. Thailand memberi jaminan bahawa sidang kemuncak yang menghimpunkan semua 10 negara anggota dan pemimpin dunia akan berjalan lancar, ” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Thailand, Jen Prayuth Chan o-cha mempengerusikan mesyuarat persediaan untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 dan Sidang Kemuncak Berkaitan 2019 di sini.

Narumon berkata kesemua 10 pemimpin serta Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, António Guterres, Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde akan menghadiri sidang kemuncak itu di sini.

“Kami masih menunggu pengesahan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menghadiri sidang kemuncak itu),” katanya.

Media tempatan melaporkan bahawa Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, Presiden Korea Selatan Moon Jae-in, dan Perdana Menteri China Li Keqiang adalah antara pemimpin lain yang akan menyertai sidang kemuncak selama tiga hari itu yang bermula pada 2 Nov.

Sidang kemuncak dwitahunan itu akan membincangkan isu-isu berkaitan dengan tiga tonggak ASEAN, termasuk Komuniti Keselamatan Politik ASEAN (APSC), Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN.

Para pemimpin akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 (sidang pleno) dan majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-22, Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat ke-7, Sidang Kemuncak ASEAN-India Ke-16, Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-22, Sidang Kemuncak ASEAN-PBB ke-10, Sidang Kemuncak Asia Timur ke-14, Sidang Kemuncak Tiga serta Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN.

Selain itu, para pemimpin juga akan menghadiri Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau ke-3 (RCEP) dan Forum Perniagaan Indo-Pasifik ke-2.

— BERNAMA

Oleh Linda Khoo

CATEGORIES
TAGS
Share This