Thailand terima kumpulan pertama vaksin COVID-19, suntikan dijadual bermula minggu ini

Thailand terima kumpulan pertama vaksin COVID-19, suntikan dijadual bermula minggu ini

BANGKOK,. Thailand pada Rabu menerima kumpulan pertama vaksin COVID-19 Sinovac Biotech dari China, dan suntikan dijadual bermula minggu ini.

Thai Airways International yang mengangkut 200,000 dos vaksin itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabumi pada 10.05 pagi (waktu tempatan).

Thailand memesan dua juta dos vaksin COVID-19 dari Sinovac Life Sciences Co of China, dengan 800,000 dos dijangka tiba pada Mac dan sejuta dos lagi pada April.

Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha berkata ia peristiwa bersejarah, dan berterima kasih kepada kerajaan China yang menghantarnya mengikut jadual.

“Seperti dirancang, kita akan menerima vaksin dalam beberapa bulan berikutnya… Kita akan memiliki vaksin yang
cukup untuk negara ini,” katanya pada majlis penyerahan vaksin itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, semalam.

Menurut Ketua Jawatankuasa Kecil mengenai pengurusan vaksin COVID-19, Dr Sopon Mekthon, pada tengah hari, Thailand dijangka menerima 117,000 dos vaksin COVID-19 Oxford-AstraZeneca.

Sebaik kedua-dua vaksin diterima, vaksinasi dijadual bermula dalam beberapa hari.

Prayuth antara penerima awal vaksin pada hujung minggu ini untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keselamatan dan keberkesanannya.

Selain itu, petugas kesihatan barisan hadapan dan pesakit yang mempunyai sejarah penyakit kronik di 13 wilayah dengan kadar jangkitan tertinggi menjadi antara penerima pertama vaksin.

Setakat ini, Thailand mencatatkan 25,692 kes COVID-19 dan 83 kematian.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This