Thaipusam: Sambut upacara agama di rumah satu rahmat

Thaipusam: Sambut upacara agama di rumah satu rahmat

IPOH,. Pada setiap tahun, kebiasaannya penganut agama Hindu menyambut perayaan Thaipusam sempena memperingati kelahiran Dewa Murugan dengan menghadiri upacara keagamaan dan perarakan pedati di kuil.

Namun, pada tahun ini, Thaipusam yang akan diraikan esok tidak seperti tahun sebelumnya apabila kerajaan memutuskan tidak membenar sambutan secara besar-besaran di kuil di seluruh negara.

Akur dan sedar mengenai keputusan kerajaan itu dalam usaha membendung penularan pandemik COVID-19, K. Shanmuga Nathan, 44, dari Jalan Changkat Jong, Teluk Intan bersama-sama keluarga akan meraikan secara sederhana serta bersembahyang di rumah, dan menyifatkannya sebagai satu rahmat.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana buat keputusan tidak membenarkan sambutan besar-besaran di kuil kerana kita juga takut hendak keluar rumah dan kalau meraikan di kuil, takut wujud pula kluster baharu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata walaupun sambutan agak berbeza kerana tidak dapat ke kuil, menyambut perayaan Thaipusam bersama ahli keluarga di rumah dalam keadaan yang sihat perlu dihargai dan lebih bermakna.

“Sudah pasti saya juga akan berdoa agar masalah COVID-19 ini dapat diatasi segera dan kita kembali jalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, kebenaran kepada hanya lima ahli jawatankuasa atau petugas kuil hadir ke rumah ibadat sempena perayaan tersebut memberi kelegaan buat M. Devithran, 28, dari Kampung Baru Lahat di sini dan menerima ketetapan kerajaan dengan hati terbuka kerana ia untuk kebaikan bersama dalam mengekang penularan wabak COVID-19.

“Walaupun tiada kavadi, tiada menjunjung belanga berisi susu serta pecah kelapa dan mencukur rambut, saya akan melakukan sembahyang di Kuil Dewa Muniswarer Lahat kerana saya adalah petugas di kuil ini dan dibenarkan untuk melakukan sembahyang di situ.

“Memang agak sedih tidak dapat bertemu rakan-rakan dan sanak saudara. Tetapi tidak mengapa, mungkin tahun depan kita boleh meraikan kembali perayaan Thaipusam seperti biasa,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This