The TOP Penang rai 190 kanak-kanak Kelab Kiwanis sempena Krismas
GEORGE TOWN,. Taman tema, The TOP Penang meraikan 190 kanak-kanak Kelab Kiwanis sempena sambutan Krismas pada majlis Touch of Malaysia Christmas Celebration, di sini hari ini.
Pengurus Besar The TOP Penang, Joel Law berkata pihaknya amat berbesar hati menganjurkan program meraikan kanak-kanak kurang bernasib baik untuk menyambut perayaan tersebut dengan lebih menekankan nilai kasih sayang dan kebersamaan.
“Seramai 190 kanak-kanak Kelab Kiwanis Pulau Pinang, Penang Sentral, Bukit Mertajam dan Bukit Kiara diraikan malah mereka juga berpeluang untuk merasai keseronokan menjelajah Jurassic Research Center dan Top Boutique Aquarium secara percuma,” katanya kepada pemberita pada majlis itu di The TOP, Komtar di sini hari ini.
Beliau berkata di dalam program itu turut dianjurkan pertandingan pokok krismas tercantik yang didermakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan persendirian dan syarikat di seluruh Pulau Pinang.
“Hadiah hasil daripada pertandingan dan pokok krismas juga akan didermakan kepada rumah-rumah kebajikan Kelab Kiwanis terlibat,” katanya.
Law turut menyatakan pihaknya kini dalam usaha untuk meneruskan program itu dengan melibatkan lebih ramai lagi golongan kurang bernasib baik terutamanya kanak-kanak untuk menyambut perayaan bukan sahaja Krismas, malah semua perayaan yang dirayakan di negara ini.
“Titik fokusnya (penganjuran program) adalah untuk menyemai kembali kasih sayang yang kian terhakis disebabkan arus teknologi yang sering mendahului kita. Keterlibatan keluarga sangat penting dalam membina sahsiah kanak-kanak. Itu yang kita hendak tekankan,” katanya.
Terdahulu, majlis itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam negeri Chong Eng.
Chong Eng berkata program seumpama itu patut diteruskan kerana kanak-kanak perlu diraikan tanpa mengira latar belakang bangsa mahupun agama.
“Program seperti ini patut dianjurkan oleh semua pihak kerana secara tidak langsung dapat memberi kesedaran kepada komuniti mengenai hak kesamarataan terutamanya hak seseorang kanak-kanak itu sendiri. Masa depan kita bermula dari kanak-kanak. Oleh itu, kita perlu menjaga hak mereka dengan harapan mereka akan menjadi peneraju dan mentadbir negara ke arah yang lebih berdaya saing,” katanya.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang majlis tersebut termasuk pertunjukan tarian, nyanyian dan banyak lagi.
— BERNAMA