Tiada keperluan tubuh jaringan keselamatan laluan sempadan Kalimantan-Sarawak

Tiada keperluan tubuh jaringan keselamatan laluan sempadan Kalimantan-Sarawak

KUALA LUMPUR,. Tiada keperluan ketika ini untuk menubuhkan jaringan keselamatan laluan di sempadan Kalimantan-Sarawak bagi memantau sempadan negara di negeri itu, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata ketika ini operasi bersepadu Op Benteng di bawah National Task Force (NTF) sedang dilaksanakan.

Katanya, Tentera Darat Malaysia telah menempatkan formasi-formasi di kedudukan yang strategik di kawasan sempadan negara di Sarawak.

“Op Benteng menggabungkan semua agensi penguatkuasaan sempadan merupakan langkah terbaru yang diambil oleh kerajaan bagi memperkukuhkan kawalan sempadan daratan khususnya negeri Sarawak.

“Markas Pemerintahan Medan Timur selaku Land Component Commander Timur (LCC Timur) adalah bertanggungjawab untuk menyelaraskan usaha bersepadu di bawah NTF ini,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, bagi kementerian itu.

Jelasnya, Tentera Darat Malaysia dan Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Darat (TNI-AD) turut melakukan rondaan keselamatan secara bersama di kawasan sempadan seperti di Limbang, Bareo dan Ba’kelalan, Sarawak.

Kata beliau kerajaan juga terus memperkukuhkan hubungan baik melalui diplomasi pertahanan dengan negara jiran di sempadan daratan Malaysia timur melalui forum yang berkaitan seperti Jawatankuasa Sempadan Am Malaysia-Indonesia (GBC MALINDO) dan lawatan timbal balas mesyuarat unit komander (UCM) Patroli Terkoordinasi (PATKOR).

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memberi tahu Dewan Rakyat, penggunaan pesawat Beechcraft bagi tugas rondaan maritim akan digantikan dengan Pesawat Peronda Maritim (MPA) selaras Pelan Rancangan Pembangunan Keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) 2055 atau dikenali sebagai CAP55 (Capability Development 55).

Katanya, MPA lebih berkemampuan melaksanakan rondaan maritim dengan lebih menyeluruh dan berkesan.

“Pesawat Beechcraft akan ditamatkan perkhidmatannya pada 2024 setelah menjangkau usia perkhidmatan 30 tahun selari dengan Dasar Kasting Perintah Am Angkatan Tentera,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata TLDM telah mengkaji dan melaksanakan penambahbaikan terhadap teknik serta prosedur penerbangan sedia ada termasuk prosedur pengendalian standard pesawat Beechcraft. – Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This