Tiada kompromi terhadap pihak jual minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing

Tiada kompromi terhadap pihak jual minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing

KUCHING,. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat menjual minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sarawak Peter J. Berinus Agang berkata, pihaknya mengadaptasi pendekatan Ops Samar dalam usaha mengesan mana-mana pihak yang cuba melanggar perundangan berkaitan.

Menurutnya, seramai 176 pegawai penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negeri terlibat dengan operasi penguatkuasaan ini.

“Seramai 176 pegawai penguatkuasa KPDNHEP di seluruh negeri digerakkan untuk melaksanakan pemeriksaan dan mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak dan pengusaha stesen minyak yang cuba melanggar perundangan berkaitan.

“Bagi menambahkan keberkesanan penguatkuasaan ini, pegawai penguatkuasa kita akan mengadaptasi pendekatan Ops Samar dengan memakai pakaian preman dalam melaksanakan penguatkuasaan ini,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati bersalah, justeru kita menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mana-mana orang atau pengusaha stesen minyak yang melanggar perundangan ini boleh menyalurkan aduan lengkap dengan nama dan lokasi stesen minyak serta bukti bergambar kepada KPNDHEP,” katanya.

Jelasnya, maklumat boleh disalurkan melalui WhatsApp 016-8488000/0192794317, portal aduan (e-aduan.kpdnhep.gov.my), call centre 1-800-886-800 atau e-mel [email protected]

KPDNHEP memutuskan bahawa semua kenderaan berpendaftaran asing tidak dibenarkan untuk mengisi minyak petrol RON95 di seluruh negara dan hanya dibenarkan mengisi petrol RON97 di mana-mana stesen minyak.

Baru-baru ini tular di media sosial gambar sebuah kenderaan asing sedang mengisi minyak bersubsidi di sebuah stesen minyak di bandar raya ini.

Peter mengesahkan pihaknya telah menjalankan serbuan ke atas stesen minyak tersebut dan siasatan masih dijalankan.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )