Tiada Perbincangan Pembahagian Kerusi, Muhyiddin

Tiada Perbincangan Pembahagian Kerusi, Muhyiddin

KOTA KINABALU: Siri lawatan dua hari Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Sabah tidak menyentuh secara spesifik mengenai pembahagian kerusi bagi pilihan raya umum akan datang.

Beliau, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, memang ada perbincangan (pilihan raya) diadakan namun, ia hanya dilakukan secara santai kerana ketika ini tumpuan adalah untuk melaksana manifesto atau kempen yang dibuat semasa pilihan raya negeri (PRN) Sabah.

Katanya, rakyat Sabah sudah memberi mandat begitu besar kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menguruskan Sabah. “Maka, sekarang fokus adalah kepada usaha melaksana janji dan apa yang terkandung dalam manifesto atau kempen PRN sebab ianya lebih penting.

“Kita tidak bincang secara spesifik. Saya berada di sini bukan sebab pilihan raya, pilihan raya di sini (Sabah) sudah selesai. Diperingkat pusat, akan ada pilihan raya peringkat parlimen dan itu akan dibincangkan secara lebih serius,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Projek Lok Kawi Resort City, di sini hari ini.

Ditanya adakah perbincangan awal antara UMNO dan PKR akan mengugat kedudukan GRS di Sabah, Muhyiddin berkata, situasi di Sabah agak istimewa kerana jalinan kerjasama parti dalam GRS bukti kesungguhan kerjasama politik antara parti-parti dalam gabungan tersebut.

“Sabah adalah contoh terbaik dimana jalinan parti GRS yang disertai Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan parti lain adalah petanda kesungguhan dan tidak banyak bermain politik sebaliknya, kita beri tumpuan kepada apa yang rakyat mahu dan apa diperlukan untuk negeri Sabah.

“Ini bukan soal siapa yang popular atau parti mana yang lebih baik. Apa yang kita lakukan, kalau boleh semangat Sabah Maju Jaya ini ditunjukkan dalam kerajsama serta jalinan politik agar ianya boleh dilaksana,” ujarnya.

Muhyiddin berkata, beliau mendokong usaha ditunjukkan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Timbalan-timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan serta Datuk Seri Dr Maximus Ongkili termasuk gabungan parti lain seperti PAS dan MAC.

Katanya, ini adalah contoh klasik. Sekiranya bersungguh-sungguh untuk memberi tumpuan kepada agenda utama membela rakyat, ini adalah contoh terbaik.

Mengulas mengenai siri lawatan ke Sabah selama dua hari ini, Muhyiddin berkata, beliau amat berpuas hati dengan urusan pentadbiran negeri dibawah pimpinan Ketua Menteri dan rakan Kabinet Negeri lain bersama dengan penjawat awam negeri dan persekutuan.

Katanya, beliau melihat kerjasama rapat yang diberikan dalam memberi tumpuan kepada agenda pembangunan Sabah menerusi Sabah Maju Jaya.

-Borneopost

CATEGORIES
Share This