Tiada perubahan tarikh pembentangan Belanjawan 2023 – Shahar Abdullah

Tiada perubahan tarikh pembentangan Belanjawan 2023 – Shahar Abdullah

ISKANDAR PUTERI,. Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Mohd Shahar Abdullah mengesahkan tiada perubahan tarikh bagi pembentangan Belanjawan 2023 setakat ini dan ia kekal seperti dijadualkan dalam kalendar Parlimen pada 28 Oktober depan.

“Tarikh Belanjawan 2023 telah diumumkan iaitu pada 28 Oktober, 2022 sepertimana takwim Dewan Rakyat yang sudah menjadi pengetahuan umum.

“Saya tiada maklumat itu (mengenai pembentangan akan disegerakan pada bulan depan). Setakat ini, ia kekal (pada 28 Oktober),” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mohd Shahar berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah portal mengenai dakwaan bahawa Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dipercayai akan membentangkan belanjawan itu lebih awal untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Terdahulu beliau menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Futurise Sdn Bhd dan Iskandar Investment Bhd Ventures (IIBV) bagi membangunkan sukan dron di Medini Iskandar Malaysia di sini semalam.

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Futurise Rosihan Zain Baharudin bagi pihak Futurise, manakala IIBV diwakili Pengarah Urusannya Zulfiqar Zainuddin.

Sementara itu, mengulas mengenai desakan beberapa persatuan pengguna yang menuntut supaya Bank Negara Malaysia (BNM) menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat bank yang terlibat dengan kehilangan wang simpanan pelanggan, Mohd Shahar berkata institusi kewangan perlu bertanggungjawab sekiranya isu tersebut timbul akibat kecuaian bank.

Beliau berkata BNM giat melakukan pemantauan terhadap isu tersebut yang kini menjadi tumpuan serta telah beberapa kali dibangkitkan dan dijawab dalam persidangan Dewan Rakyat sebelum ini.

“Sesiapa sahaja yang merasakan mereka dianiaya, mereka boleh melaporkan kepada pihak polis atau bank masing-masing kerana itu prosedur sedia ada. Sudah pasti kita (kerajaan) akan mengarahkan institusi kewangan untuk melihat sekiranya kecuaian itu berlaku di bawah pihak mereka, maka institusi kewangan perlu bertanggungjawab,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This