“Tidak boikot walaupun tidak dipilih calon” – Fadil

“Tidak boikot walaupun tidak dipilih calon” – Fadil

KOTA BELUD, 23 Sept — Walaupun nama sudah hangat diperkatakan namun akhirnya tiada dalam senarai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan tidak mematahkan semangat Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Fadil Juanas untuk tetap setia terhadap perjuangan parti.

Beliau berkata perjuangan untuk memenangkan parti lagi penting dan perasaan tidak dicalonkan itu harus diketepikan selain tidak timbul usaha memboikot kempen calon yang dipilih, Datuk Seri Salleh Said Keruak, bekas Bendahari UMNO.

“Pada mulanya saya kecewa. Tapi bila fikir panjang, dunia belum kiamat kalau saya tidak menjadi calon. Walaupun calon bukan dalam bahagian kami, tapi kami tidak boikot.

“Kita perlu berjiwa besar. Apa yang penting kita menangkan parti dan merampas semula pucuk pimpinan negeri dan pusat,” katanya ketika ditemui di kawasan lot perniagaan sekitar pekan sambil mengedarkan risalah berkaitan parti dan calon.

Fadli berkata selepas penamaan calon, pihaknya termasuk jentera, terus berbincang dan menyusun strategi mendekati ketua-ketua pusat daerah mengundi (PDM) selain menyantuni segala lapisan masyarakat di kawasan DUN tersebut.

Beliau berkata penjelasan juga perlu diberikan berkaitan hal pemilihan calon agar pengundi tidak memboikot parti dan usaha itu dilihat berjaya apabila mereka memahami misi utama parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini.

Untuk PRN ini, Salleh, bekas Ketua Menteri Sabah dari Disember 1994 hingga Mei 1996, akan ditentang calon Abdul Bahkrin Mohd Yusof dari Warisan dan Datu Mohd Nazaruddin Datu Tigabelas yang mewakili Parti Cinta Sabah (PCS).

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This