Tidak masuk akal Najib tidak persoal RM42 juta dimasukkan ke akaunnya – Peguam Negara

Tidak masuk akal Najib tidak persoal RM42 juta dimasukkan ke akaunnya – Peguam Negara

KUALA LUMPUR,. Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mungkin tidak mengetahui langsung mengenai akaun bank peribadinya sehingga tidak pernah mempersoalkan atau menyaman banknya walaupun menerima RM42 juta di dalam akaunnya, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas berkata Najib, sebagai pemegang akaun bank sepatutnya lebih berhati-hati terhadap akaunnya untuk memastikan tiada wang dalam jumlah yang besar daripada aktiviti menyalahi undang-undang masuk ke akaunnya.

Semasa membalas hujah peguam bela Najib, Harvinderjit Singh, Thomas berkata, aktiviti sedemikian boleh menjadi kesalahan serius.

Thomas berkata, undang-undang pelanggan-bank adalah ketat sehingga pelanggan mempunyai kewajiban kontrak dan undang-undang untuk memeriksa penyata bank bulanannya dalam tempoh yang munasabah, untuk mengatakan bank itu telah mendepositkan akaun tersebut secara salah.

“Tertuduh perlu menjelaskan, dengan gaji yang diperoleh, RM42 juta dipindahkan ke dalam akaunnya. Banyak cek yang dikeluarkan dari AmBank, tidakkah penting tiada satu cek pun yang ditolak? Bukankah itu suatu yang luar biasa?

“Bagi seseorang yang berkata saya tidak tahu apa yang berlaku pada akaun saya? Bagi seseorang yang memperoleh kurang daripada RM1 juta setahun, menerima RM42 juta, membelanjakannya dengan banyak cek, tidak mempersoalkan banknya, tidak pernah menyaman banknya, dia mesti dipanggil untuk membela diri,” kata Thomas.

Terdahulu, Thomas berhujah bahawa RM4 bilion dipinjam oleh syarikat sumber strategik (SRC) tetapi tidak dapat membayar balik pinjaman kepada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) sehingga menyebabkan syarikat itu memperoleh pinjaman jangka pendek sebanyak RM550 juta daripada Kementerian Kewangan.

Bagaimanapun, kata Thomas, pinjaman tersebut, seperti yang nyatakan seorang saksi dalam perbicaraan kes itu, tidak pernah dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet dan syarikat itu tidak pernah mengambil langkah untuk mendapatkan balik wang.

“RM4 bilion telah dipinjam dan tidak dibayar balik. Jaminan kerajaan tidak dapat dijelas tetapi kerajaan memberi lebih banyak pinjaman, siapa yang meluluskannya? Tertuduh,” kata Thomas.

Najib, 66, Ahli Parlimen Pekan, berdepan tiga tuduhan pecah amanah (CBT) dan satu tuduhan salah guna kuasa berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung hari ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This