Tiga anggota TLDM maut, trak dinaiki terbabas

Tiga anggota TLDM maut, trak dinaiki terbabas

KOTA BELUD,. Tiga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut dan seorang lagi parah selepas trak yang dinaiki terbabas di Jalan Ranau – Kota Kinabalu berhampiran Kampung Bundu Tuhan, Tamparuli.

TLDM dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Bahagian Komunikasi Strategik Markas Wilayah Laut 2 Pangkalan TLDM Sandakan memberitahu kejadian berlaku apabila kesemua anggota yang terlibat nahas berkenaan dalam perjalanan menuju ke Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar Kota Kinabalu dari arah Pangkalan TLDM Sandakan bagi melaksanakan tugas rasmi.

“Dalam kejadian terbabit, kenderaan jenis lori tiga tan hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.

“Kesemua mangsa dikenali sebagai Laskar Kanan (LK) PAP Maslim Abdul Rahim, Laskar Kelas I TNL Mohamad Firdaus Mat Izan dan Laskar Kelas I TMK Muhammad Arif Idris disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Seorang lagi anggota iaitu Laskar Kelas II TLR Vincent M. Orel mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Tambahnya, punca kemalangan masih dalam siasatan dan Panglima Tentera Laut menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada ahli keluarga yang terlibat dalam kemalangan terbabit.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya bergegas ke lokasi bersama tujuh anggota bersama kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebaik menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian.

“Tiga mangsa maut berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth menggunakan lori milik PDRM.

“Mangsa yang parah diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Ranau menggunakan kenderaan EMRS bagi mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata pasukan bomba juga menjalankan pemeriksaan keselamatan di sekitar lokasi kejadian bagi memastikan tiada punca api atau unsur bahaya lain sebelum menamatkan operasi keseluruhan pada jam 3.20 petang.

Mangsa yang maut masing-masing Maslim adalah anak jati Sabah berasal dari Semporna, Firdaus dari Kluang Johor dan Arif berasal dari Melaka, Vincent yang parah pula berasal dari Sarawak.

–UB

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )