Tiga kenderaan rosak teruk ditimpa bumbung akibat ribut

Tiga kenderaan rosak teruk ditimpa bumbung akibat ribut

BUTTERWORTH,. Tiga buah kenderaan mengalami kerosakan teruk akibat dihempap bumbung dari flat blok A di Taman Seri Pinang, di sini yang diterbangkan angin, dalam kejadian hujan ribut yang berlaku petang tadi.

Pada kejadian kira-kira pukul 4.10 petang itu, kereta jenis Perodua Axia, Honda Civic dan Proton Saga BLM mengalami kerosakan teruk di bahagian bumbung, cermin sisi dan bahagian belakang, akibat dihempap bumbung tersebut.

Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Zainal, 40-an berkata, dia yang ketika itu berada di rumahnya terdengar bunyi dentuman kuat yang disangkakan berlakunya kemalangan, namun hanya menyedari keretanya rosak teruk selepas dimaklumkan jiran.

“Memang angin kuat tapi ribut tu sekejap sahaja dan seterusnya hujan, lepas hujan jiran saya datang maklumkan kereta kena hempap dengan bumbung yang diterbangkan angin, saya terus turun tengok dan lihat kerosakan teruk pada kereta saya,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata pihaknya menerima tiga laporan polis daripada pemilik kereta yang kenderaan mereka rosak teruk akibat kejadian ribut tersebut.

Katanya setakat ini, dalam kejadian itu pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan kemalangan melibatkan kecederaan orang ramai.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This