Tiga RUU dibentangkan pada mesyuarat kedua DUN Sarawak, minggu depan

Tiga RUU dibentangkan pada mesyuarat kedua DUN Sarawak, minggu depan

KUCHING: Tiga Rang Undang-Undang (RUU) akan dibentangkan pada Mesyuarat Kedua Persidangan Pertama bagi Penggal Pertama DUN Sarawak ke-19 yang akan berlangsung pada 17 hingga 26 Mei ini.
Speaker Dun Datuk Amar Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, ketiga-tiga RUU itu merangkumi RUU pindaan dan Perbekalan Tambahan yang bakal dibentangkan selama lapan hari, bermula minggu depan.

Beliau berkata, antara RUU yang dibentangkan adalah RUU Perbekalan Tambahan (2022), 2022 yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru Kedua Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

“Sementara, RUU Kanun Tanah (Pindaan), 2022 pula akan dibentangkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

“Seterusnya RUU Hutan (Pindaan), 2022 akan dibentangkan oleh Timbalan Premier merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan,” katanya.

Asfia berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Pra-Persidangan DUN Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Asfia memberitahu bacaan pertama bagi kesemua RUU tersebut akan dilakukan pada hari kedua persidangan iaitu Rabu, 18 Mei ini. “Begitu juga bacaan kedua dan ketiga RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2022 akan dibentangkan pada hari Rabu. “Bagi bacaan kedua dan ketiga RUU Hutan (Pindaan) 2022, ia akan dibentangkan pada hari ketiga persidangan iaitu Khamis,” jelasnya.

Tambah Asfia, Menteri Kewangan Kedua Datuk Amar Douglas Uggah Embas pula akan membentangkan RUU Perbekalan Tambahan (2022), 2022 dengan bacaan kedua dan ketiga pada Khamis.

Menurutnya, persidangan kali ini juga menyaksikan akan ada sesi soal jawab di dalam Dewan pembentangan usul bagi pemilihan ahli Dewan Negara dan Perbahasan Usul Penghargaan atas ucapan Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Sarawak.

Sesi soal jawab akan diadakan selama empat hari bermula Rabu (18 Mei) hingga Isnin ini (23 Mei).

Dalam pada itu, Asia menyatakan bahawa pembentangan usul bagi pemilihan ahli Dewan Negara pula akan dilakukan pada hari 18 Mei ini (Rabu) selepas sesi soal jawab dan pembentangan rang undang-undang oleh Menteri yang bertanggungjawab.

Dalam perkembangan sama, Asfia memberitahu, pihak Dun menerima satu usul daripada Ahli Dewan Biasa di bawah Peraturan Mesyuarat 23, sehingga tarikh tutup penghantaran usul pada 6 Mei lalu. Katanya, pihak Dewan Undangan Negeri telah menerima satu usul daripada Adun Batu Lintang, See Chee How.

Hadir sama, Timbalan Speaker Datuk Idris Buang dan Setiausaha Dun Sarawak Pele Peter Tinggom.

-Suara Sarawak

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )