Tingkat SSL beras, daging dan susu antara perhatian MAFI

Tingkat SSL beras, daging dan susu antara perhatian MAFI

PUTRAJAYA,. Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sedang memberi perhatian untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) bagi beras, daging dan susu, kata Timbalan Menterinya Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi Jabatan Pertanian Tahun 2022 di sini hari ini, Ahmad berkata SSL bagi ayam dan telur buat masa ini adalah mencukupi.

“Tetapi sektor lain seperti beras, daging, susu dan lain-lain tidak cukup. Ini akan diberi perhatian.

“MAFI sekarang bergerak ke arah tersebut supaya dapat memenuhi SSL serta mengurangkan kebergantungan kepada barang import,” katanya ketika ditanya mengenai langkah yang diambil MAFI dalam melaksanakan program berkaitan sekuriti makanan negara.

Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 19 Julai lepas telah meminta MAFI melaksanakan program berkaitan sekuriti makanan negara dengan segera.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Datuk Zahimi Hassan berkata Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam satu mesyuarat semalam telah bersetuju memberikan kelulusan kepada 3,200 pekerja asing bagi sektor pertanian.

“Pemohon-pemohon perlu membuat tindakan selanjutnya selaras dengan peraturan yang ada,” katanya ketika ditanya sama ada sektor pertanian terjejas susulan pasaran buruh negara yang kini berdepan kekurangan tenaga kerja asing.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This