Tingkat taraf ekonomi seiring latihan pelajar di IPT

Tingkat taraf ekonomi seiring latihan pelajar di IPT

KUALA LUMPUR,. Sarawak perlu meningkatkan taraf ekonomi yang selari dengan latihan yang dijalani oleh pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) pada masa ini, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, ketika ini keadaan ekonomi di Sarawak tidak begitu tinggi dan hanya berkisar kepada sumber sahaja.

“Bagaimanapun, kita mesti menambah nilai kepada sumber yang memerlukan kemahiran tertentu dan sebab itu dalam keadaan ini (ekonomi tidak selari dengan latihan) kita dapat lihat anak Sarawak bekerja di luar Sarawak.

“Ini disebabkan ruang pekerjaan yang tidak sesuai dengan latihan yang mereka jalani di IPT,” katanya semasa sesi Agenda Sarawak: Dialog Awam Bersama Premier Sarawak, pada Program Lan Berambeh Anak Sarawak 2022 (LBAS 2022) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), semalam.

Oleh sebab itu, beliau berkata begitu penting untuk meningkatkan taraf ekonomi dengan memerlukan kaedah baharu termasuk ekonomi digital.

“Ini mewujudkan pekerjaan yang sekali gus memberi pulangan kepada negeri Sarawak.

“Dengan sumber yang ada, pelabur akan datang dan mewujudkan pekerjaan yang sesuai dengan latihan yang diikuti oleh pelajar,” jelasnya.

Dalam pada itu, Abang Johari juga berharap agar usaha meneruskan keterlibatan antara pelajar dan kerajaan sentiasa dilaksanakan bagi memastikan Sarawak mempunyai masa depan yang cerah.

“Ini kerana, kerajaan mempunyai visi dan kaedah baharu bagi menjadikan Sarawak negeri termaju di Malaysia dan rakyat mempunyai pendapatan tinggi,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This