Tokoh sejarawan Kedah meninggal dunia

Tokoh sejarawan Kedah meninggal dunia

ALOR SETAR,. Tokoh sejarawan negeri Kedah dan juga bekas pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Kedah (PSMCK) Datuk Dr Wan Shamsuddin Mohd Yusof meninggal dunia dipercayai kerana sakit tua di Kedah Medical Centre (KMC) di sini hari ini.

Pengerusi PSMCK Dr Ibrahim Bakar memberitahu bahawa Wan Shamsuddin, 88, meninggal dunia kira-kira pukul 6.15 petang tadi dan jenazah telah dibawa pulang ke kediaman keluarganya di sini dan difahamkan jenazah akan dikebumikan pagi esok.

“Saya amat terkejut apabila menerima berita kematian mantan pengerusi PSMCK ini kerana baru sahaja bersembang dengan Allahyarham ketika berjumpanya baru-baru ini.

Kehilangan Allahyarham ini sangat besar bukan sahaja kepada persatuan tetapi seluruh Kedah kerana diibaratkan seperti khazanah ensiklopedia sejarah berikutan Allahyarham sangat mencintai dunia sejarah,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam ini.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat PSMCK Mohd Faisal Mustaffa menyifatkan Allahyarham yang mesra dengan panggilan ‘Tok Wan’ semasa hayatnya sebagai seorang yang mesra dan mempunyai minat mendalam dalam bidang sejarah.

“Selepas meninggalkan jawatan pengerusi PSMCK, kita telah lantik beliau sebagai penasihat PSMCK kerana beliau seorang yang berpengetahuan dan kita selalu panggil beliau ke seminar dan program anjuran kita untuk menyampaikan mengenai sejarah negara khusus negeri Kedah,” katanya.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor turut merakamkan ucapan takziah untuk keluarga Allahyarham dan menyifatkan pemergian tokoh itu suatu kehilangan besar yang sukar dicari ganti.

Beliau berkata legasi yang ditinggalkan Allahyarham sepanjang menerajui PSMCK telah memberikan impak yang besar dalam penerokaan minat terhadap aktiviti pensejarahan dan kebudayaan masyarakat negeri ini.

“Datuk Wira (Dr) Wan Shamsuddin telah membuktikan kesungguhan dan minat yang sangat mendalam dalam bidang kaji selidik serta penghasilan artikel, jurnal serta buku-buku berkaitan sejarah Negeri Kedah yang bernilai tinggi.

“Semoga usaha bakti Allahyarham dibalas dengan sebesar-besar ganjaran pahala di sisi Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )