Tommy Thomas perlu undur diri secara hormat – PPMM

KUALA LUMPUR,. Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) terkejut dan kecewa dengan keputusan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menghentikan 34 pertuduhan terhadap 12 tahanan di bawah SOSMA yang dijadual dibicarakan dalam masa beberapa bulan lagi.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, PPMM sedar Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa Peguam Negara memulakan, meneruskan atau memberhenti sesuatu tindakan jenayah di mahkamah sivil.
Namun, kuasa tersebut perlu dilaksanakan secara kehakiman.

“Sebagai seorang penjawat awam, Peguam Negara perlu memberi pertimbangan kepada keselamatan negara, kepentingan dan keselamatan awam serta perhatian media.
“Pertimbangan-pertimbangan tersebut perlu dibuat secara telus berdasarkan faktor-faktor di Malaysia bukan negara asing seperti Australia, Eropah ataupun Sri Lanka.

“Malah Peguam Negara mesti memberi pertimbangan serius kepada pandangan yang diberikan oleh pihak polis yang merupakan penjaga keselamatan dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sehingga kini, kata beliau, tiada langsung kenyataan daripada polis menyatakan aktiviti Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) bukan lagi isu keselamatan negara.

“Malah LTTE masih tersenarai sebagai pertubuhan pengganas di Malaysia. Tindakan Peguam Negara ini telah melangkaui kuasa eksekutif (Kementerian Dalam Negeri) yang menyatakan LTTE adalah pertubuhan pengganas.

“Peguam Negara tidak diketahui pernah memberi nasihat kepada Menteri Dalam Negeri mengeluarkan LTTE dari senarai ini sebelum daripada ini tetapi terus secara unilateral membuat kesimpulan LTTE bukan pertubuhan pengganas,” tambahnya.

Malah Peguam Negara juga, dakwa beliau, gagal menzahirkan kepada awam di dalam kenyataannya bahawa polis menyokong keputusan beliau.

“Hal ini sangat serius kerana melibatkan keselamatan negara. Adakah keputusan Peguam Negara tersebut membawa implikasi kesemua tahanan DAESH juga perlu dilepaskan?

“Natijah daripada tindakan Peguam Negara ini timbul juga beberapa persoalan adakah keputusan beliau ini disebabkan penolakan dua orang Hakim Mahkamah Tinggi iaitu Tuan Mohd Zaini Mazlan dan Tuan Collin Lawrence Sequerah terhadap cabaran kepada keabsahan sesksyen 13 SOSMA di sisi Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menolak ikat jamin OKT kes LTTE,” kata beliau lagi.

Malah, PPMM turut mempersoalkan sama ada berlaku salah guna kuasa dalam jawatan awam daripada keputusan tersebut.

Justeru, persatuan itu berpendapat, tindakan mahkamah perlu dibuat oleh mana-mana pihak berkepentingan bagi mencabar keputusan Peguam Negara dan sebagai isyarat kepada beliau agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan kuasa tanpa pertimbangan undang-undang yang betul.

“Tindakan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas ini dan beberapa siri tindakan beliau sebelum ini menzahirkan ketidakmampuan beliau menggalas tanggungjawab sebagai Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

“Pada hemat PPMM adalah lebih baik beliau mengundurkan diri dari jawatan tersebut secara terhormat.

“Sekiranya beliau enggan, PPMM merafak sembah kepada Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri agar menggantikan Peguam Negara yang lebih berkemampuan dan telus di dalam melaksanakan tanggungjawabnya,” kata beliau lagi.

Pada Jumaat, Tommy menarik balik pertuduhan terhadap 12 tertuduh yang dikaitkan dengan aktiviti LTTE berkuat kuasa serta-merta.

Ia selepas pihaknya melihat tidak ada prospek jelas untuk sabitan ke atas mana-mana 34 pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh.

Jelas Tommy, keputusan muktamad itu dibuat berdasarkan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )