Tourism Malaysia, Expedia kerjasama tingkatkan jumlah pelancong antarabangsa

Mohamaddin (tengah) pada Majlis Pelancaran Kempen Kerjasama Pemasaran Digital Bersama antara Tourism Malaysia dan Expedia pada Selasa. Turut kelihatan, Musa (dua kanan) dan Greg (kiri). –fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Tourism Malaysia bekerjasama dengan platform pelancongan global, Expedia Group untuk dua kerjasama pelancongan yang utama dalam usaha meningkatkan ketibaan pelancong antarabangsa ke Malaysia pada masa akan datang.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata kerjasama yang pertama ialah mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang menarik dengan mempamerkan kekaguman yang unik mengenai negara, selain tarikan dan budaya, serta menyokong inovasi digital industri pelancongan.

Dalam kerjasama yang kedua, kedua-dua pihak akan melaksanakan kempen global Expedia Media Solutions untuk mempromosikan perjalanan dari Australia, Jepun dan Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, katanya.

Kerjasama itu akan menyaksikan pelaksanaan bersama kempen pemasaran destinasi untuk mengetengahkan tarikan pelancongan Malaysia yang unik, selain mempromosikan pelbagai penginapan kepada lebih 750 juta pengunjung bulanan Expedia Group di peringkat global.

“Expedia Group mempunyai lebih 200 laman web tempahan perjalanan di lebih 70 negara di seluruh dunia dan bekerjasama dengan ratusan dan ribuan rakan penginapan dan penerbangan untuk memenuhi pelbagai keperluan pelancong moden hari ini.

“Kerjasama strategik ini akan menyokong sasaran Malaysia untuk mencapai 30 juta ketibaan pelancong dan perbelanjaan pelancong sebanyak RM100 bilion yang ditetapkan untuk kempen Melawat Malaysia 2020,” katanya pada majlis pertukaran dokumen untuk kerjasama itu di pada Selasa.

Tourism Malaysia diwakili oleh Ketua Pengarahnya Datuk Musa Yusof, manakala Expedia Group diwakili oleh Naib Presiden Kanan, Strategi Komersial dan Perkhidmatan, Greg Schulze.

Mohamaddin berkata kerjasama itu, dengan aktiviti pemasaran dan promosi yang telah digariskan, akan menempatkan Malaysia dalam peta pelancong dan memberi mereka inspirasi untuk mengalami kepelbagaian hebat yang ditawarkan oleh negara.

Sementara itu, Musa berkata melalui kerjasama strategik dengan Expedia Group, Tourism Malaysia menyasarkan ketibaan seramai 220,500 pelancong dari Australia, AS dan Jepun dalam tempoh enam bulan kempen itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This