
Traktor bawa penziarah terhumban ke dalam kolam, 26 maut
LUCKNOW: Sebuah traktor yang menarik troli dipenuhi penziarah agama di India terbalik lalu terhumban ke dalam sebuah kolam, mengorbankan 26 orang dan mengakibatkan 16 lagi mengalami kecederaan serius, menurut pihak berkuasa kelmarin.
Traktor itu membawa kira-kira 50 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, ketika insiden berlaku di Kanpur di wilayah utara Uttar Pradesh pada Sabtu, kata pegawai kanan tempatan Sudheer Kumar.
“Seramai 26 orang meninggal dunia dalam insiden itu,” menurut Kumar.
Perdana Menteri Narendra Modi menyampaikan ucapan takziah beliau selepas insiden tersebut yang berlaku ketika traktor itu dalam perjalanan pulang dari sebuah kuil Hindu.
“Terkejut dengan kemalangan traktor yang berlaku di Kanpur.
“Ingatan saya buat semua mereka yang kehilangan orang tersayang serta doa bagi mangsa yang tercedera,” menurut ciapan Modi.
Ketua Menteri Uttar Pradesh Yogi Adityanath menyatakan kenderaan tersebut yang berupa sebuah traktor yang menarik sebuah gerabak besar, seharusnya digunakan hanya untuk membawa barang-barang perladangan dan muatan, bukannya manusia, menurut akhbar The Hindu.
“Kemalangan jalan raya di daerah Kanpur sangat menyayat hati,” kata beliau.
Kemalangan jalan raya kerap berlaku di India dengan lebih 150,000 orang terkorban pada tahun lepas, atau lebih 400 orang dalam sehari, menurut kepada statistik rasmi yang kemungkinan kurang daripada anggaran tersebut.
Penduduk dibawa dengan traktor juga biasa berlaku terutama di kawasan luar bandar, selalunya di atas jalan raya yang kurang diselenggarakan.
– Agensi