TSCP kukuh pemantauan keselamatan di Tawau – APMM

TSCP kukuh pemantauan keselamatan di Tawau – APMM

TAWAU,. Kewujudan Pusat Pemeriksaan Sementara di Laut (TSCP) mampu mengukuhkan pemantauan pihak berkuasa dalam menangani kemasukan pendatang haram serta membendung penyeludupan dengan 15 pengusiran bot dicatat sejak diaktifkan pada April tahun lepas.

Pengarah Zon Maritim Tawau Kapten Maritim V Siva Kumar berkata buat masa ini, TSCP itu dioperasikan oleh kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), KM Pintar dengan 20 anak kapal.

“Anggota bertugas akan melakukan pemeriksaan terperinci terhadap bot dan kapal, selain (memeriksa) dokumen juragan mahupun penumpang,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan laut di sini, hari ini.

Katanya selain itu, APMM turut menggerakkan dua bot bagi rondaan keselamatan dari sempadan Semporna hingga Burs Point sempadan Indonesia.

“Antara kes berprofil tinggi yang dicatat oleh APMM Tawau ialah rampasan syabu seberat 17 kilogram bernilai RM2.5 juta di perairan Batu Payung serta sitaan 1,160 karton rokok bernilai RM179,000 di perairan Kampung Titingan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata APMM Tawau menahan 84 individu merangkumi 28 warga tempatan, 24 rakyat Indonesia serta 32 warga Filipina atas pelbagai kesalahan yang membabitkan rampasan bernilai RM3 juta sepanjang tahun lepas.

Mengenai cabaran yang dihadapi APMM Tawau, Siva Kumar berkata selain liputan kawasan yang luas, pihaknya juga berdepan isu jalan tikus yang terlalu banyak dan sentiasa berubah, serta modus operandi penjenayah yang sentiasa bergerak pada waktu malam gelap.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )