Tukang kebun jumpa bom mortar

Tukang kebun jumpa bom mortar

JASIN,. Sebutir bom mortar berkarat berukuran 60 milimeter ditemukan di belakang sebuah rumah di Kampung Tersusun dekat Serkam Darat di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Jasin DSP Ahmad Jamil Radzi berkata bahan letupan jenis Unexploded Ordnance (UXO) itu ditemukan seorang tukang kebun kira-kira 9 pagi tadi.

“UXO berkenaan ditemukan tukang kebun itu ketika mengemas rumah seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Jasin. Selepas dimaklumkan isterinya, anggota APM itu yang sedang bertugas balik ke rumah untuk membuat pengesahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata anggota APM berkenaan kemudian membuat laporan di Balai Polis Merlimau kira-kira 10.30 pagi sebelum sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Melaka ke lokasi penemuan pada 11.45 pagi.

Bahan letupan terbabit, katanya diperiksa dan dibawa ke Pejabat Pensenjataan IPK Melaka untuk dimusnahkan.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )